PETALING JAYA – Kerajaan perlu memberi tumpuan terhadap usaha untuk meningkatkan ekonomi negara dan sektor penting yang lain daripada bertindak tergesa-gesa mengadakan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Penganalisis politik Pusat Perdana Fakulti Razak, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr. Mazlan Ali berkata, tumpuan juga sepatutnya diberikan terhadap keperluan rakyat yang sebelum ini dihimpit pelbagai bebanan ekoran penularan Covid-19.
Menurut beliau, sekiranya PRU-15 diadakan dalam masa terdekat, ia secara tidak langsung memberi gambaran negatif terhadap kerajaan yang dilihat mengutamakan politik berbanding perkara lain.
“Penularan Covid-19 masih lagi berlaku. Sekiranya PRU-15 dibuat dalam keadaan sekarang walaupun adanya prosedur operasi standard (SOP) yang ketat, adakah terdapat jaminan tiada peningkatan kes Covid-19 selepas itu?
“Tambahan pula, sektor ekonomi baharu sahaja kembali bernafas. Rakyat pun masih tercari-cari rentak untuk bangkit kembali selepas dua tahun terkesan akibat wabak ini,” katanya ketika dihubungi semalam.
Selain itu, Pensyarah Kanan Politik dan Hubungan Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Dr. Mohd. Azizuddin Mohd. Sani berkata, kos yang lebih tinggi sudah semestinya diperlukan sekiranya PRU-15 diadakan dalam tempoh terdekat.
Menurutnya, kos tersebut sebaliknya boleh digunakan untuk perkara yang lebih penting terutama sektor pendidikan, sosial dan ekonomi bagi pasca Covid-19.
“Terlalu banyak risiko sekiranya PRU-15 diadakan. Perlu diingat, ia tidak sama sebagaimana Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang hanya melibatkan satu negeri. Kos akan bertambah kerana melibatkan SOP ketat.
“Tambahan pula jika kes meningkat kembali sejurus selepas PRU-15 diadakan, tidakkah wang yang lebih banyak akan diperlukan? Perlu diingat kita wajar belajar daripada PRN Sabah di mana kes meningkat dan banyak sektor terpaksa ditutup lebih lama berbanding tempoh berlangsungnya proses pilihan raya,” jelasnya.
Sehubungan itu, Mohd. Azizuddin amat berharap agar kerajaan menunggu sehingga tempoh matang iaitu tahun 2023 serta memastikan kes penularan Covid-19 benar-benar terkawal terlebih dahulu sebelum mengadakan PRU-15.
Sementara itu, menurut tinjauan media sosial yang dipetik daripada Astro AWANI mendapati, 75.5 peratus individu menyatakan mereka tidak bersetuju PRU-15
di adakan dengan segera.
Kaji selidik yang bermula 22 November lalu melibatkan sebanyak 3,480 undi.
Bagaimanapun, baki 24.5 peratus menyatakan persetujuan agar pilihan raya harus dipercepatkan.
Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim pula berpandangan, PRU-15 tidak harus diadakan awal bagi memberi peluang kepada pengundi18 tahun.
Menurut beliau, pengundi 18 tahun yang meliputi jumlah yang lebih besar sudah pasti akan memberi impak kepada politik negara sekali gus mereka perlu diraikan sebagai pengundi pertama pada PRU kali ini. -K! ONLINE