Oleh FAIZUL GHAZI
PUTRAJAYA – Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) hari ini melancarkan portal MyDIGITAL.KKMM bagi memperkenalkan, mempromosikan dan mempamerkan pelbagai teknologi digital dan jalur lebar secara menyeluruh kepada Keluarga Malaysia.
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa berkata, portal berkenaan dirangka khusus untuk membolehkan segala maklumat berhubung promosi jalur lebar dapat disatukan bukan hanya di peringkat KKMM, malah semua kementerian lain untuk mempamerkan program pendigitalan.
Annuar berkata beliau berharap kewujudan portal berkenaan dapat memberikan peluang kepada semua kementerian dan agensi kerajaan serta syarikat telekomuniasi (Telco) untuk menyampaikan maklumat kepada rakyat secara lebih berkesan dan berterusan.
“Sebagai percubaan portal MyDIGITAL.KKMM akan mempamerkan dan mempromosikan teknologi digital dan jalur lebar secara maya selama tiga bulan, mulai hari ini.
“Apabila rakyat melayari portal MyDIGITAL.KKMM mereka boleh lihat ada pelbagai program interaktif sepanjang masa, sekali gus mengoptimumkan penyampai segala maklumat dengan lebih berkesan,” katanya ketika berucap melancarkan MyDIGITAL.KKMM di Putrajaya hari ini.
Mengulas lanjut, Annuar berkata portal berkenaan juga akan menjadi sebuah pusat sehenti atau ‘one stop centre’ yang boleh dimanfaatkan sepenuhnya oleh kementerian dan agensi kerajaan bagi mempercepatkan lagi kefahaman rakyat mengenai ekosistem digital di negara ini.
Berikutan itu, Annuar berkata beliau tidak menolak kemungkinan portal berkenaan juga akan memuat naik kandungan dalam dielek Bumiputera Sabah dan Sarawak bagi meningkat kefahaman dan meningkatkan sistem penyampaian maklumat kerajaan selain dalam bahasa Melayu dan Inggeris sekarang.
“Kalau untuk memudahkan rakyat faham kita perlu adakan program dalam bahasa lain. Insya-Allah kita sedia pertimbangkan,” katanya. – K! ONLINE