PETALING JAYA – Pembukaan tanah untuk pembangunan dan penerokaan tanah secara berleluasa menjadi antara penyumbang bencana.
Pensyarah Kanan Fakulti Perhutanan dan Alam Sekitar Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Madya Dr. Mohammad Firuz Ramli berkata, tanah runtuh berlaku bukan hanya kerana hujan lebat semata-mata, tetapi boleh terjadi kerana adanya perubahan guna tanah.
“Kebanyakan bencana seperti tanah runtuh berlaku di kawasan yang telah dibangunkan, sebagai contoh di Cameron Highlands, di mana ia telah dibangunkan. Jadi, tidak boleh salahkan hujan semata-mata, kerana sekarang memang musim hujan.
“Jadi, ini memang kita sudah jangkakan. Malah, seperti di Cameron juga kita sudah beri amaran bahawa penerokaan tanah secara berleluasa ini akan menyumbang kepada tanah runtuh,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Katanya, keadaan banjir serta tanah runtuh yang berlaku ketika musim tengkujuh juga berisiko kepada penduduk yang menetap di kawasan pinggir tebing.
“Ada kawasan perumahan yang betul-betul berada di kawasan rizab sempadan sungai. Disebabkan taburan hujan semakin tinggi dan juga kawasan yang boleh telus air itu semakin berubah, jadi kesemua air larian akan mencari kawasan paling rendah dan akan menuju ke sungai atau punca saliran.
“Jadi, penduduk-penduduk di kawasan ini sebenarnya berisiko. Seolah-olah menunggu masa sahaja untuk menerima banjir kesan limpahan lumpur,” ujarnya.
Dalam pada itu, Pengarah Pusat Geokejuruteraan Tropika (Geotropik) Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof. Dr. Edy Tonnizam Mohamad berkata, keadaan cerun perlu dipantau dan diselenggara dengan baik terutama sekali cerun buatan manusia.
“Boleh pecahkan keadaan cerun kepada dua iaitu semula jadi dan buatan manusia, kalau dari segi cerun semula jadi, ia memang tidak boleh diubah. Sekiranya dibangunkan, perlu mengambil kira risiko jika berlaku runtuhan,” katanya. -K! ONLINE