PETALING JAYA – Program Minggu Saham Digital (MSD) yang berakhir malam tadi mendapat sambutan yang menggalakkan daripada rakyat Malaysia apabila berjaya mencatatkan lebih 1.5 juta tontonan dalam tempoh tujuh hari.
MSD 2021 yang merupakan program utama literasi kewangan tahunan anjuran Permodalan Nasional Berhad (PNB) dengan tema #laburbersama itu turut menyaksikan lebih lima juta penglibatan di semua saluran media sosial rasmi MSD.
Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Ahmad Zulqarnain Onn berkata, pihaknya merakamkan ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada semua yang terlibat terutamanya peserta yang menjadikan MSD 2021 sebagai acara paling menyeronokkan.
“MSD 2021 dianjurkan bertujuan untuk meningkatkan literasi kewangan rakyat Malaysia dari semua peringkat umur melalui pelbagai aktiviti dalam talian dan semua program kami sepanjang minggu masih boleh terus ditonton di saluran Facebook juga YouTube MSD.
“Kami berharap para peserta telah berjaya menimba ilmu baharu daripada pengalaman mereka bersama kami, dan terus menyokong usaha celik kewangan kami,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Dalam program itu juga, beberapa peserta bertuah telah berjaya memenangi hadiah bernilai lebih daripada RM500,000 menerusi pelbagai peraduan yang diadakan sebelum dan semasa MSD berlangsung.
“Seramai tiga peserta bertuah telah berjaya memenangi hadiah berupa kereta dalam peraduan ‘Jom…Kira Duit’ dengan hadiah pertama iaitu kereta jenis Hyundai Kona 2.0 dimenangi oleh Muhamad Ramli Ab. Rahman dari Kuala Lumpur.
“Hadiah kedua iaitu kereta jenis Toyota Yaris 1.5G dimenangi oleh Filzah Haziyah Ahmad Shah dari Kota Kinabalu, Sabah dan Mohd. Shahril Amin Shahda dari Teluk Intan, Perak pula memenangi sebuah Perodua Ativa 1.0 Turbo AV di tempat ketiga,” ujar beliau.
Jelasnya, tempat keempat dimenangi oleh Abdul Hamid Hasan dari Jitra, Kedah yang membawa pulang sebuah motosikal jenis Honda CB250R, manakala lapan lagi pemenang mendapat motosikal Honda Dash 125 yang mana lima daripada mereka adalah pemenang ‘Ringgit Emas’.
Ahmad Zulqarnain turut merakamkan penghargaan kepada rakan korporat yang telah memainkan peranan penting dalam memastikan MSD 2021 terus menjadi salah satu acara literasi kewangan terbesar di Malaysia.
Rakan Premier MSD ialah Malayan Banking Berhad (Maybank), Sime Darby Plantation Berhad dan UMW Holdings Berhad.
Sime Darby Berhad, Sime Darby Property Berhad, S P Setia Berhad, MIDF Berhad dan Perusahaan Otomobil Kedua Sdn. Bhd. (Perodua) adalah dalam kategori Rakan Utama, manakala MNRB Holdings Berhad (MNRB), Duopharma Biotech Berhad, Velesto Energy Berhad, dan Projek Lintasan Kota Holdings Sdn. Bhd. adalah dalam kategori Rakan. -K! ONLINE