AMPANG – Lembaga Zakat Selangor (LZS) bakal memberi bantuan secara one-off sebanyak RM600 kepada mangsa-mangsa banjir di Kampung Lembah Jaya Utara.
Hampir 400 buah rumah terjejas akibat banjir lumpur yang melanda kawasan tersebut pada Isnin lalu.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Saipolyazan Mat Yusop berkata, LZS telah mula mengagihkan bantuan kepada 60 buah rumah bermula hari ini.
“Pada peringkat awal, kita sasarkan 120 buah rumah bakal menerima bantuan daripada LZS.
“Bermula hari ini, kita mula mengagihkan bantuan kepada 60 buah rumah yang merangkumi barangan keperluan asas dan makanan kering,” katanya ketika ditemui pemberita selepas program penyerahan bantuan kepada mangsa banjir di sini hari ini.
Tambah Saipolyazan, sebanyak 220 buah rumah telah berdaftar bawah LZS dalam mendapatkan bantuan sewajarnya.
“Kita akan lakukan bancian seterusnya jika melibatkan fakir atau miskin, LZS akan bantu jika terdapat keperluan untuk membaiki rumah dan sebagainya.
“Jika mereka tidak tergolong dalam kalangan fakir dan miskin, mereka akan diberi bantuan secara one-off RM600,” ujarnya. – K! ONLINE.