REKOD pertahanan kental bakal menjadi azimat buat pasukan Kuala Lumpur City (KL City) dalam usaha meloloskan diri ke pentas final Piala Malaysia buat kali pertama selepas kali terakhir pada 1989.
Sebagai rekod, skuad kendalian Bojan Hodak itu kini selangkah lagi ke pentas final selepas mengharungi aksi separuh akhir pertama menentang Melaka United pada Isnin lepas dengan saingan berkesudahan seri 1-1.
Namun, The City Boys enggan menoleh ke belakang sebaliknya mahu terus fokus untuk memastikan impian menamatkan kemarau 32 tahun pentas final menjadi kenyataan menjelang aksi separuh akhir kedua di Stadium Hang Jebat, malam esok.
Tonggak pertahanan import KL City, Giancarlo Gallifuoco optimis pasukannya berada di landasan terbaik selepas merekodkan pencapaian cemerlang apabila tidak tewas selain bermain 12 perlawanan tanpa dibolosi di laman sendiri sepanjang musim ini.
Kata Gallifuoco, rekod tersebut pasti menaikkan semangat pasukan dalam memastikan momentum cemerlang dapat dicapai sekali gus meraih keputusan positif dapat diraih di gelanggang lawan nanti.
“Kami tidak tewas sepanjang musim di laman sendiri. Sudah tentu ia pencapaian yang cemerlang dan menjadi tonik buat pemain bagi memastikan pasukan ke pentas final Piala Malaysia.
“Peluang sudah di depan mata untuk memahat sejarah baharu kelab dan saya harap semua pemain dapat memberikan seratus peratus di atas padang,” kata pemain import dari Australia itu.