PUTRAJAYA – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mendedahkan kenaikan harga sayur-sayuran di pasaran tempatan ketika ini ada kaitan dengan peningkatan harga baja dan racun di pasaran dunia.
Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, perkara itu didedahkan pada sesi libat urus antara kementeriannya bersama Kementerian Kewangan dan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) semalam.
Beliau berkata, mesyuarat telah dimaklumkan bahawa antara faktor kenaikan harga sayur-sayuran yang tinggi di dalam pasaran tempatan mempunyai perkaitan dengan kenaikan harga baja dan racun di pasaran dunia.
“Mesyuarat tadi diketuai Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan turut dihadiri Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee.
“Antara isu berbangkit yang telah dibincangkan bersama-sama adalah melibatkan isu kenaikan harga makanan terutamanya harga ayam dan sayur-sayuran yang mengalami kenaikan harga yang tinggi di dalam pasaran,” katanya menerusi hantaran di Facebook semalam.
Katanya, beberapa pelan tindakan sedang dirangka melibatkan ketiga-tiga kementerian bagi mengatasi isu kenaikan itu.
Alexander berkata, beliau amat berharap tindakan itu dapat dilaksanakan dengan secepat mungkin bagi membantu pengguna dan peniaga yang terkesan teruk. – K! ONLINE