PETALING JAYA – Biarpun dibebani permasalahan pandemik Covid-19 sejak dua tahun, industri animasi tempatan terus berkembang dan kekal maju ke hadapan.
Terbaharu, siri kartun baharu hebat penuh dengan aksi dan komedi iaitu Mechamato akan mula bersiaran Disember depan menerusi saluran Cartoon Network (Saluran Astro 615 HD).
Ketua Pegawai Kandungan Monsta, Anas Abdul Aziz berkata, industri animasi tanah air kekal berdaya saing dengan sihat dan berada pada posisi terbaik untuk terus ‘mencuri’ perhatian dunia.
“Industri animasi Malaysia sangat sihat. Kalau kita ingat balik ketika tahun 2019, ada tiga filem animasi dilancarkan lebih kurang pada waktu sama.
“Orang gelar tahun itu ‘tahun animasi’ atau animation year dan situasi itu sangat-sangat bagus tapi malangnya, berlaku pula Covid-19.
“Itu mengganggu perancangan semua orang tetapi bagi kami (Monsta), apabila pandemik melanda, kita tetap bekerja keras di rumah. Kami kekal membangunkan kerja-kerja animasi yang ingin dilancarkan,” kata Anas kepada Kosmo! Online ketika sesi temu bual virtual baru-baru ini.
Mechamato merupakan idea asal Monsta, sebuah syarikat animasi Malaysia yang berpangkalan di Cyberjaya, Malaysia.
Turut berkongsi pandangan sama, Ketua Asia Pasifik Cartoon Network, Leslie Lee, berkata, dia kagum dengan kemajuan industri animasi Malaysia yang kian diakui dan dikenali negara-negara luar.
“Kalau dahulu mungkin animasi (Malaysia) dibikin untuk pasaran domestik atau tempatan sahaja tapi sekarang karya-karya negara ini sudah menjelajah negara-negara luar dan itu satu perkara yang sangat membanggakan.
“Dulu buat untuk di Malaysia, sekarang untuk pasaran global. Itu juga berlaku buat siri Mechamato yang akan ditonton bukan hanya di Malaysia tetapi di seluruh Asia Pasifik menerusi saluran Cartoon Network,” kata Leslie.
Mechamato mengisahkan tentang seorang kanak-kanak lelaki baik hati dan kreatif bernama Amato, yang menjumpai penjara di angkasa lepas mengandungi robot-robot yang akhirnya mendarat di Bumi. Salah satu robot bernama MechaBot yang memiliki kemampuan atau kuasa untuk menukar objek-objek harian kepada peranti-peranti berteknologi tinggi.
Amato berjaya mengendalikan atau mengawal MechaBot dan sekaligus menjadi pengawal MechaBot. MechaBot dan Amato bekerjasama untuk mengesan dan membawa pulang robot-robot yang melepaskan diri dari penjara angkasa lepas.
Mechamato boleh ditonton secara eksklusif di Cartoon Network. Episod pertama dan kedua akan mula bersiaran pukul 3 petang hari Sabtu dan Ahad (4 dan 5 Disember). Episod berikutnya setiap hujung minggu waktu sama. – K! ONLINE