fbpx

Harga kit ujian kendiri Covid-19 perlu lebih murah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Alexander (dua dari kiri) menunjukkan tanda bagus sambil memegang kit ujian kendiri Covid-19 yang dijual pada harga RM4.90 di salah sebuah cawangan kedai serbaneka 99 Speedmart hari ini.

PETALING JAYA – Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi memaklumkan bahawa harga kit ujian kendiri Covid-19 perlu diturunkan lagi agar semua rakyat Malaysia dapat melakukan ujian sendiri secara kerap.

Beliau berkata, seiring dengan pembukaan lebih banyak sektor ekonomi, pekerjaan, sekolah dan institusi pengajian, sudah pasti keperluan untuk melakukan ujian kendiri menjadi lebih mendesak dan kerap dilakukan.

“Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sentiasa mendengar keluhan rakyat yang terkesan akibat penjualan set ini yang dijual pada harga tinggi, sebelum ini.

“Melalui usaha yang diadakan oleh kementerian, kita sudah berjaya menurunkan harga kit ujian kendiri ini dari RM39.90 kepada harga siling RM19.90 di peringkat runcit,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook hari ini.

Jelas beliau, menerusi perbincangan berterusan di antara KPDNHEP dan Kementerian Kesihatan (KKM), beliau bersetuju bahawa harga kit itu perlu diturunkan lagi tanpa berkompromi dengan kualitinya.

“Semestinya saya mahu kit ini dapat dibeli dengan harga mampu milik agar semua rakyat dapat melakukan sendiri ujian secara kerap.

“Antara strategi yang dilaksanakan oleh kementerian adalah memberikan kebenaran kepada lebih banyak premis seperti pasar raya dan kedai rangkaian menjual kit ujian berkenaan yang telah mendapat kebenaran pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA) dan KKM,” katanya.

Tambah Alexander, setakat ini KPDNHEP telah memberikan kebenaran kepada 7,302 premis di seluruh negara untuk menjual kit ujian kendiri yang telah diberikan kebenaran oleh KKM dan MDA.

Dalam pada itu, beliau turut memuji inisiatif yang diambil oleh kedai serbaneka 99 Speedmart yang sudah mula menjual kit ujian tersebut pada harga serendah RM4.90 seunit.

“Kerjasama daripada peniaga seperti ini amat kami hargai, bagi kita bersama-sama membantu meringankan beban rakyat, terutama dalam usaha kita mengawal dan menurunkan jumlah kes Covid-19 di negara kita.

“Saya berharap lebih banyak premis akan mengambil langkah yang sama dalam waktu terdekat,” ujar beliau. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI