fbpx

Fobia tidak boleh dipandang remeh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN
ZUBAIDAH IBRAHIM,
WARTAWAN EKSEKUTIF

BUKAN mudah untuk membuang rasa fobia terhadap sesuatu perkara sehingga membangkitkan rasa takut yang melampau dan sukar dikawal apabila berhadapan dengan situasi tersebut.

Lantas membuatkan seseorang individu itu sukar bernafas, jantung berdegup kencang, panik dan berkemungkinan besar boleh menyebabkannya pengsan.

Terdapat pelbagai jenis fobia termasuk fobia dengan haiwan dan alam semula jadi.

Malangnya, terdapat segelintir masyarakat masih kurang faham terhadap fobia sehingga melabelkan penghidapnya sebagai lemah, penakut dan tidak kuat iman hanya kerana mereka tidak seberani orang lain.

Baru-baru ini terdapat perkongsian video di sebuah laman sosial yang menunjukkan sekumpulan remaja memaksa rakan mereka untuk terjun dari platform ketika melakukan aktiviti flying fox.

Niat sekumpulan remaja itu sebenarnya baik hanya semata-mata untuk membantu sahabatnya yang fobia dengan ke­tinggian, tetapi mungkin aktiviti tersebut terlalu drastik untuk dilakukan.

Jelas sekali riak wajah remaja lelaki tersebut sangat panik dan sukar untuk mengawal perasaan cemas kerana terlalu takut berada di tempat tinggi apatah lagi hendak bergayut menggunakan tali.

Reaksi dan tindakan spontan remaja tersebut yang cemas serta panik menggamatkan suasana apabila orang sekitarnya ketawa besar kerana geli hati dengan kelakukan pemuda itu.

“Hidup kena kental bro, ja­nganlah takut sangat,” tulis salah seorang netizen di ruangan komen.

Tidak kurang juga ada netizen memberi sokongan dan semangat kepada pemuda tersebut kerana dia turut mengalami fobia sama sehingga sering mengelakkan diri daripada melakukan aktiviti melibatkan ketinggian.

Sementara itu, Presiden Persatuan Psikiatri Malaysia, Dr. Hazli Zakaria berkata, fobia tidak boleh dipandang remeh kerana ia merupakan salah satu contoh penyakit anxiety yang memerlukan rawatan pakar serta soko­ngan orang sekeliling.

“Jangan mudah menghakimi atau melabelkan seseorang individu itu lemah, penakut dan sebagainya hanya kerana dia fobia terhadap sesuatu sehingga mendatangkan rasa rendah diri, tetapi cuba fahami serta bantu mereka untuk mengatasi perkara tersebut.

“Fobia akan mengganggu kualiti hidup dan potensi diri kerana penghidapnya akan sedaya-upaya akan mengelakkan diri daripada berada dalam situasi menakutkan itu,” katanya yang juga merupakan Pengasas dan Pengarah Klinikal Alaminda Healthcare Bhd.

Pesan beliau kepada penghidap fobia, jangan terus melarikan diri daripada situasi yang menakutkan itu, sebaliknya segera mendapatkan bantuan pakar untuk membuat diagnosis.

Hazli memberitahu, fobia adalah penyakit anxiety yang boleh dirawat dan akan sembuh sepenuhnya dengan bantuan pakar serta sokongan sosial.

“Mereka perlu didedahkan untuk mengatasi ketakutakan itu secara berperingkat dan mengajar teknik-teknik untuk bertenang supaya dapat mengawal situasi cemas itu dengan baik.

“Elakkan mendedahkan mereka secara drastik dan memaksa untuk melakukan aktiviti yang berkaitan dengan fobia dialami kerana sudah tentu akan mendatangkan serangan panik serta cemas, tetapi lakukan secara berperingkat dengan menggunakan pelbagai pendekatan,” ujarnya. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI