PETALING JAYA – Berkat usaha dan sumbangannya menaikkan martabat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia dalam karya terbitannya, pelakon dan penerbit Darling Ngasri menerima penganugerahan Pingat Setia Bomba, semalam.
Pingat tersebut diterima Darling atau nama sebenarnya, Nasreen Ngasri, 38, dalam sebuah majlis Istiadat Penganugerahan Pingat Kebesaran Jabatan Bomba 2020 yang berlangsung di Hotel Marriott Putrajaya.
Sudah menjadi impiannya untuk memartabatkan badan beruniform di Malaysia menerusi karya seni dan baginya, usaha tersebut hanyalah sumbangan kecil jika hendak dibandingan dengan pengorbanan yang diberikan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat.
“Pingat Setia Bomba ini saya terima sebagai penghargaan atas kerjasama menerusi karya-karya berkaitan bomba yang diterbitkan sebelum ini.
“Antara karya berkaitan bomba yang pernah diterbitkan saya adalah filem dan drama bersiri Hero serta telefilem berjudul Fateema Azahra.
“Selain itu, saya juga ada membuat iklan-iklan untuk mempromosikan bomba dan program mereka,” kata Darling ketika dihubungi Kosmo! Online.
Menurut Darling, ini adalah pingat kedua yang diperolehi daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat.
Terdahulu dia telah dianugerahkan Pingat Jasa Bomba pada 2018.
“Saya berterima kasih kepada semua kakitangan NS Star Studio dan karyawan yang pernah terlibat dalam projek bersama bomba.
“Anugerah ini bukan untuk saya seorang, tetapi buat mereka semua yang bekerja di belakang tabir juga. Tanpa usaha keras mereka projek bersama bomba tidak akan terlaksana.
“Insya-Allah, saya akan lebih bersemangat untuk melahirkan lebih banyak karya-karya positif tentang bomba sebagai tontonan rakyat Malaysia,” ujar Darling. – K! ONLINE