PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir di Kedah, Perak, Pahang, Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Sabah dan Sarawak petang ini.
MetMalaysia dalam satu kenyataan berkata, cuaca buruk bagi negeri yang terlibat dijangka berlaku sehingga pukul 6 petang ini.
”Di Kedah kawasan yang terlibat adalah Sik dan Baling manakala di Perak pula kawasan yang dijangka mengalami ribut petir berserta hujan lebat adalah Larut, Matang dan Selama, Kuala Kangsar, Kinta, Perak Tengah, Kampar, Bagan Datuk, Hilir Perak, Batang Padang dan Mualim,” katanya di sini hari ini.
Sementara itu, di Pahang melibatkan kawasan di Tanah Tinggi Cameron, Lipis, Raub, Bentong, Kuantan, Pekan dan Rompin.
Tambah kenyataan itu, bagi kawasan di Selangor melibatkan Sabak Bernam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Klang, Gombak, Petaling dan Kuala Langat.
”Selain itu, cuaca sama dijangka melanda seluruh Wilayah Kuala Lumpur, manakala di Negeri Sembilan melibatkan kawasan Jelebu dan Kuala Pilah,” jelasnya.
Keadaan cuaca buruk juga diramal berlaku di Sarawak melibatkan kawasan Kuching, Sri Aman, Kapit (Song dan Kapit) dan Limbang manakala di Sabah yang terlibat Pedalaman (Sipitang, Beaufort dan Tambunan), Pantai Barat, Sandakan (Tongod, Kinabatangan dan Beluran) dan Kudat.- K! ONLINE