AMPANG – Penduduk yang menjadi mangsa banjir kilat di Kampung Lembah Jaya Utara di sini, Isnin lalu terkejut selepas arus sungai turut membawa beberapa batang kayu balak sehingga menghentam rumah penduduk.
Kayu balak sebesar sehingga dua pemeluk itu dilihat merempuh sebuah bengkel di tepi sungai dan hampir menyebabkan kerosakan sebuah lagi rumah.
Dalam kejadian itu, seorang penduduk yang dikenali sebagai Ahmad, 36, mendakwa kehadiran balak yang dihanyutkan arus sungai berpunca daripada projek pembinaan sebuah lebuh raya dan beberapa projek lain yang dijalankan berhampiran kawasan penempatan.
“Semasa projek nak dibuat, kebanyakan penduduk kurang setuju sebab sudah tahu pasti kampung ini akan menerima padah.
“Projek lebuh raya serta pembinaan rumah flat baharu di atas bukit sekitar kawasan kami memberi ancaman kepada penduduk di sini terutamanya ketika hujan lebat hingga mengakibatkan bencana alam teruk,” katanya ketika ditemui Kosmo! di sini semalam.
Seorang lagi penduduk, Ramli Abu Kasim, 71, berkata, hampir keseluruhan barangan rumahnya rosak dan tidak dapat diselamatkan melibatkan kerugian lebih RM10,000 susulan ditenggelami banjir hampir dua meter.
“Tiada apa yang sempat saya selamatkan, air naik terlalu cepat dalam tempoh 10 minit dan hanya mampu selamatkan diri.
“Barangan elektrik, perabot dan pakaian semua ditenggelami air dan hanyut,” ujarnya.
Sementara itu, seorang pekerja swasta, Muhammad Asyraf Iskandar berkata, penduduk setempat berharap agar pihak berkuasa tempatan (PBT) memainkan peranan yang lebih aktif dalam mengatasi masalah banjir dan bencana alam yang lain.
“Banjir seperti ini bukan sekali, tapi dah berulang kali dan masih belum nampak usaha berterusan PBT untuk naik taraf sistem sungai dan juga perparitan di kawasan kampung kami.
“Penduduk kampung dah kecewa kerana bantahan yang diusulkan tidak dihirau oleh pihak-pihak tertentu,” katanya. -K! ONLINE