KUALA LUMPUR – Kerajaan bercadang membentangkan perundangan berkaitan akta antilompat parti dan pengehadan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada 10 tahun ke Parlimen sebelum Julai tahun hadapan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, kedua-dua perkara tersebut memerlukan kajian dan sesi libat urus yang terperinci.
“Pada 30 September lalu, satu mesyuarat melibatkan Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU), Jabatan Peguam Negara dan pihak berkepentingan lain telah bersetuju bahawa perkara ini perlu dikaji dengan lebih teliti.
“Kajian yang lebih teliti terbabit melibatkan parameter, kandungan dan implikasi akta terbabit. Ia juga tidak boleh dibuat dalam keadaan tergesa-gesa,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Seri Anwar Ibrahim (PH-Port Dickson) mengenai perkembangan terkini Memorandum Persefahaman (MOU) Transformasi dan Kestabilan Politik antara Kerajaan Persekutuan dengan Pakatan Harapan (PH) yang ditandatangani pada 13 September lalu.
Mengulas lanjut, satu perjumpaan akan diadakan bersama ketua parti pada bulan depan bagi mendapatkan pandangan berkaitan cadangan tersebut.
“Satu perjumpaan akan diadakan bulan depan untuk mendapatkan pandangan berkaitan undang-undang antilompat parti serta untuk memaklumkan pendirian kerajaan berkaitan undang-undang tersebut,” jelasnya.- K! ONLINE