fbpx

8 lokasi risiko tanah runtuh di Kelantan dikenal pasti

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SHAFIEN (dua dari kanan) menandatangani plak perasmian Surau Ar-Rasyidin di Ibu Pejabat Polis Daerah Tumpat hari ini.

TUMPAT – Polis mengenal pasti lapan lokasi di negeri ini yang berisiko berlaku kejadian tanah runtuh akibat hujan berpanjangan semasa musim tengkujuh sejak kebelakangan ini.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, lokasi terbabit adalah Jalan Kuala Betis – Lojing serta kawasan Lojing di Gua Musang selain Lata Rek, Gunung Stong, Kampung Chuchuh Puteri di Kuala Krai dan Batu 18 Jalan Timur Barat Jeli – Gerik, Jeli.

Menurutnya, selain itu, tebing Sungai Kampung Kuau, Bachok dan tebing sungai Kampung Pohon Celagi, Pasir Mas turut dikenal pasti sebagai lokasi berisiko tinggi untuk kejadian tanah runtuh.

Ujarnya, hasil tinjauan polis mendapati, ada jalan-jalan terutamanya di sekitar Lojing sudah mula retak akibat hujan berterusan.

“Sehubungan itu, polis sudah mula bertugas selama 24 jam di bilik gerakan untuk memantau lokasi yang bahaya semasa hujan bagi memastikan tidak berlaku kejadian tidak diingini.

“Dalam masa sama, saya menasihatkan orang ramai atau pengguna jalan raya supaya berhati-hati dan elak menggunakan jalan di lokasi berisiko yang boleh mengundang bahaya ini,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Terdahulu, beliau meluangkan masa melawat dan menyempurnakan perasmian Surau Ar-Rasyidin yang dibina dengan kos hampir RM500,000 yang terletak di dalam Ibu Pejabat Polis Daerah Tumpat.

Dalam pada itu, Shafien meminta orang ramai supaya sentiasa peka mengikuti laporan disalurkan media arus perdana atau menerusi laman sosial dan laman web rasmi agensi-agensi kerajaan untuk mengetahui keadaan cuaca semasa. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI