fbpx

32 mesin jual air disita, RM42,000 kompaun dikeluarkan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ANTARA mesin jual air yang disita dalam operasi dilaksanakan JKNP selama dua hari yang berakhir semalam di sekitar Kuantan.

KUANTAN – Jabatan Kesihatan Negeri Pahang telah menyita sebanyak 32 mesin jual air yang beroperasi tanpa lesen dalam memastikan kualiti air yang dihasilkan mengikut piawaian ditetapkan sekali gus menjamin keselamatan orang ramai.

Pengarah Kesihatan Negeri Pahang, Datuk Dr. Nor Azimi Yunus berkata, susulan itu pihaknya telah mengeluarkan kompaun sebanyak RM42,000 kepada pemilik mesin jual air kerana beroperasi tanpa lesen dan melanggar Peraturan 360 C (4) Peraturan-Peraturan Makanan 1985.

“Hasil operasi yang dijalankan secara serentak di seluruh negeri Pahang selama dua hari berakhir semalam sahaja menyaksikan sebanyak enam mesin jual air tidak berlesen telah disita dengan nilai tawaran kompaun keseluruhan berjumlah RM14,000.

“Operasi pelesenan mesin jual air yang dijalankan merupakan aktiviti penting untuk memastikan semua mesin jual air mempunyai lesen serta mematuhi undang-undang yang telah ditetapkan bagi memastikan kualiti air yang dihasilkan dan dijual kepada orang awam adalah selamat,” katanya di sini hari ini.

Menurut Nor Azimi, operasi pelesenan mesin jual air bertujuan memantau dan mengambil tindakan penguatkuasaan ke atas mesin yang beroperasi tanpa lesen Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sepertimana yang telah ditetapkan di bawah Peraturan-Peraturan Makanan 1985, Akta Makanan 1983.

Katanya, sehingga November tahun ini terdapat sebanyak 693 mesin jual air di seluruh negeri dengan 464 daripadanya telah berlesen manakala sejumlah 229 lagi dalam proses permohonan bagi mendapatkan lesen.

“Menurut Peraturan 360C (4) mana-mana mesin jual air yang didapati beroperasi tanpa lesen Kementerian Kesihatan Malaysia adalah merupakan suatu kesalahan yang jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM10,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi dua tahun.

“Sebagai sebuah organisasi yang sentiasa prihatin terhadap kepentingan orang ramai JKNP sentiasa mengutamakan keselamatan makanan dan kesihatan orang awam,” ujarnya. – K! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI