SHAH ALAM – Kerajaan negeri mempelbagaikan fungsi aplikasi SELangkah apabila memperkenalkan tempahan janji temu saringan Covid-19 dan pembelian kit ujian kendiri.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, kemudahan ini membantu warga Selangor merancang sebarang aktiviti dan perjalanan dengan selamat selaras kebenaran rentas negeri.
“Kerajaan Negeri sentiasa peka dan cakna dengan perkembangan semasa negara bagi memastikan usaha-usaha yang dilaksanakan dapat dilaraskan mengikut keperluan rakyat.
“Semoga kemas kini fungsi ini dapat memberi kebaikan kepada seluruh warga Selangor menjalani kehidupan seharian dengan lebih selamat dan mudah,” katanya menerusi kenyataan di laman Facebooknya hari ini.
SeLangkah mula diperkenalkan pada Mei 2020 bagi memudahkan orang ramai membuat pemantauan berikutan penularan pandemik Covid-19 dan tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP).
Aplikasi itu kemudiannya berkembang dengan pelbagai ciri termasuk e-dompet dan Selangor Mental Sehat untuk menangani isu kesihatan mental.
Sebelum ini, aplikasi SELangkah mendapat pengiktirafan Kerajaan Persekutuan dengan membenarkan penggunaan sijil vaksinasi bawah program Vaksinasi Selangor (SelVax) menerusi SELangkah. -K!ONLINE