PUTRAJAYA – Kerajaan kekal komited untuk membantu golongan yang memerlukan terutamanya golongan rentan dan golongan berpendapatan rendah (B40) dengan menyediakan bantuan tunai sebanyak RM8.2 bilion di bawah skim Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) pada tahun 2022.
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, BKM yang akan dibayar dengan menggunakan Kumpulan Wang Covid-19 berkenaan bakal memberi manfaat kepada 9.6 juta penerima.
Beliau berkata, bagi memastikan tiada yang tercicir, penerima Geran Khas Prihatin (GKP) yang tidak diluluskan permohonan Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) atau Bantuan Khas COVID (BKC) B40, akan dipertimbangkan untuk BKM secara automatik mengikut syarat kelayakan tanpa perlu membuat permohonan.
“Di samping itu, data penerima BPR dan BKC B40 bersama-sama dengan data daripada agensi kerajaan yang lain merangkumi data e-Kasih, bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat, penghuni Projek Perumahan Awam (PPA) atau Projek Perumahan Rakyat (PPR) di bawah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) serta Kementerian Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).
“Data dari Jabatan Kemajuan Orang Asli (JKOA), gelandangan dan ibu tunggal berdaftar dengan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM); penerima Skim Insurans Pekerjaan (SIP) Pertubuhan Keselamatan Sosial dan penerima zakat atau Baitulmal di Lembah Klang juga akan dimasukkan ke dalam data permohonan BKM bagi mengurangkan exclusion error,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
BKM adalah bantuan tunai kerajaan yang lebih bersasar kepada golongan yang memerlukan bagi meringankan kos sara hidup dan beban rakyat berpendapatan rendah yang diumumkan oleh Tengku Zafru ketikan pembentangan Bajet 2022 di Dewan Rakyat pada 29 Oktober 2021.
Mengulas lanjut, Tengku Zafrul berkata bagi permohonan baharu dan kemas kini BKM pula, tempoh pendaftaran akan dibuka mulai 1 Januari 2022 sehingga 31 Januari 2022.
Ujarnya, tindakan itu dibuat bagi memastikan mereka yang layak dan tiada dalam pangkalan data Kerajaan diberikan peluang untuk memohon. -K! ONLINE