fbpx

Sindiket tipu ubah suai rumah tumpas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Eng Lai menunjukkan hasil barangan yang berjaya dirampas daripada sindiket ubah suai dalaman rumah ketika sidang akhbar di IPD Sentul hari ini.

KUALA LUMPUR – Polis berjaya menumpaskan sindiket penipuan ubah suai rumah selepas menahan dua lelaki warga asing di sebuah apartmen di sekitar Pantai Dalam pada 5 November lalu.

Difahamkan, sindiket berkenaan telah berjaya menipu lebih 40 pemilik apartmen dengan kerugian sebanyak RM84,550.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, kedua-dua suspek yang berusia dalam lingkungan 40 hingga 50 tahun itu ditahan pukul 7.30 malam.

“Hasil siasatan mendapati, suspek akan menawarkan pakej ubah suai dalaman rumah serendah RM14,000 serta pembelian perabot, barangan elektrik dan perkhidmatan mendapatkan penyewa untuk rumah mangsa.

“Suspek yang menyamar sebagai ejen pengurusan hartanah akan menghubungi mangsa melalui panggilan telefon dan menawarkan pakej pengubahsuaian apartmen itu. Mangsa yang berminat akan membuat bayaran kepada suspek.

“Sindiket kemudiannya akan menunjukkan gambar atau video pemasangan perabot dan barangan elektrik di apartmen mangsa sebagai bukti sebelum membuka semula barangan terbabit untuk dipasang di rumah mangsa-mangsa yang lain,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul, di sini hari ini.

Menurut beliau, sindiket yang aktif pada awal tahun ini menggunakan modus operandi itu bagi mengaburi mangsa seolah-olah barangan serta perkhidmatan yang ditawarkan suspek itu telah disediakan seperti dalam pakej.

“Dalang utama sindiket penipuan ini berjaya melarikan diri, namun polis sedang giat memburu suspek.

“Kita juga berjaya merampas beberapa barangan yang digunakan untuk menipu mangsa seperti set katil, meja makan, tilam, sebuah peti ais, mesin basuh dan sofa,” jelasnya. – K! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI