Oleh NABIL AIMAN NOR AZWAN dan NIA AMIRA NAJWA AZMI
AMPANG – Tiada apa yang boleh menggambarkan perasaan sedih lebih 800 penduduk di Kampung Lembah Jaya Utara dan Kampung Lembah Jaya Selatan di sini apabila kediaman yang mereka huni sejak berpuluh tahun lalu rosak sekelip mata selepas dilanda banjir kilat lewat petang kelmarin.
Kejadian banjir kilat yang mencecah ketinggian sehingga paras pinggang itu turut merosakkan berpuluh-puluh kenderaan selain menyebabkan jalan raya dipenuhi lumpur dan sisa sampah sarap.
Tinjauan Kosmo! di Kampung Lembah Jaya Utara semalam mendapati, penduduk sedang bertungkus lumus untuk membersihkan kawasan kediaman masing-masing.
Seorang ibu tunggal, Jamaliah Zakaria, 57, berkata, dia sangat sedih apabila memikirkan pendapatan hariannya sebagai seorang peniaga terjejas teruk selepas kesemua barangan perniagaan musnah.
Berita Berkaitan: Sampah bersepah, banjir Ampang disamakan filem Aquaman
“Saya sedang fikirkan bagaimana dengan pendapatan selepas ini apabila semua bahan-bahan perniagaan rosak.
“Saya boleh katanya 100 peratus barang di rumah saya rosak, semuanya musnah dan tiada apa lagi yang tinggal. Sangat sedih mengenangkan nasib kami,” katanya.
Bagi Mohd. Rais Zakaria, 48, pula, dia mengakui kejadian banjir kali ini adalah yang terburuk pernah berlaku kerana melibatkan jumlah kawasan yang lebih luas.
Katanya, banjir kilat ini juga sangat berbeza dengan kejadian banjir besar pada tahun 2012 yang berpunca daripada limpahan air sungai.
“Saya percaya banjir kali ini mungkin ada kena mengena dengan projek yang sedang dibuat di kawasan bukit berhampiran tempat tinggal kami.
“Penduduk di kawasan ini yang keluar memancing juga sering melihat kawasan sungai yang dipenuhi oleh kayu-kayu balak dipercayai berpunca daripada projek berkenaan,” ujarnya.
Menurut seorang pekerja swasta, Azhar Md Arif, 47, kejadian bencana ini berlaku dengan cepat sehingga air banjir mencecah ketinggian lebih satu meter.
“Ketika itu, saya hanya fikirkan mahu menyelamatkan kenderaan dan barangan penting di dalam rumah kerana air yang turun dari bukit sangat deras sehingga menyukarkan pengerakan saya.
“Saya tidak mahu menuduh mana-mana pihak, tetapi saya dapat rasakan punca banjir kali ini berkemungkinan daripada projek pembinaan di kawasan berdekatan,” jelasnya.
Dalam pada itu, seorang warga emas, Fatimah Mansor, 77, berkata, dia berasa sangat cemas apabila cuma tinggal berseorangan di dalam rumah ketika air mula melimpah masuk ke kediamannya.
“Ketika itu saya tidak tahu apa yang perlu dilakukan, namun bersyukur kerana ada anak sempat pulang untuk membawa saya keluar.
“Saya kemudian dihantar ke dewan. Selepas itu, saya dimaklumkan beberapa bahagian kediaman telah rosak,” jelasnya. -K! ONLINE