KEMAMAN – Seorang jurutera sebuah syarikat minyak dan gas bersama isterinya, berdepan detik cemas apabila kediaman mereka di Kampung Meraga Beris, Kijal di sini dipecah masuk pada awal pagi semalam.
Dalam kejadian pada pukul 6.30 pagi itu, pelbagai barangan berharga mereka termasuk kenderaan pacuan empat roda mewah, Range Rover Evouqe dan kereta jenis Kia Rio bernilai keseluruhan dianggarkan ratusan ribu ringgit dilarikan sekumpulan penjenayah.
Mangsa, Muhammad Hanif Hasan, 36, berkata, kejadian tersebut disedari isterinya, Wan Noor Rohayati Wan Razali, 36, yang ketika itu baru sahaja selesai mandi selepas solat Subuh.
“Isteri saya (Wan Noor Rohayati) ternampak kelibat penjenayah keluar dari rumah sebelum bertindak melarikan dua buah kenderaan milik kami yang diletakkan di pekarangan rumah.
“Sebelum itu, dia yang bangun pukul 6 pagi mendapati, pintu utama rumah kami terbuka, namun disangkanya saya terlupa menutup pintu rumah. Kebetulan saya tidur lewat pada pukul 4.30 pagi kerana menyiapkan beberapa tugasan.
“Dia yang tidak mengesyaki apa-apa terus menutup pintu rumah tanpa mengetahui penjenayah berkenaan berada dalam rumah kami. Ketika itu, kenderaan kami masih ada di ruangan tempat letak kenderaan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Muhammad Hanif berkata, sebaik sahaja selesai mandi, isterinya tergamam dan menjerit apabila ternampak susuk tubuh manusia keluar dari rumah mereka sebelum terdengar bunyi kenderaan dipecut laju.
Dia berkata, selain dua kenderaan itu, barangan berharga lain seperti komputer riba, beg tangan, beberapa utas jam dan beg duit turut dilarikan penjenayah tersebut. – K! ONLINE.