PARIS – Pemain Paris Saint Germain yakin Zinadine Zidane akan dinamakan sebagai pengurus baharu kelab itu tidak lama lagi bagi menggantikan Mauricio Pochettino yang berminat untuk kembali ke England selepas dikaitkan dengan Manchester United.
Pochettino dikatakan menjadi calon utama yang mengisi kekosongan di Old Trafford selepas Ole Gunnar Solskjaer dipecat.
Sekiranya Pochettino bersetuju dengan tawaran dikemukakan United, Zidane dikatakan turut berada dalam senarai teratas PSG untuk mengambil alih tugas berkenaan.
Bagaimanapun, laporan menyebut bahawa bilik persalinan PSG sudah pun bersedia untuk menyambut Zidane dalam tempoh terdekat ini sebagai jurulatih baharu pasukan berkenaan.
Laporan sama juga menyebut yang barisan bintang PSG sudah pun berbincang secara rahsia mengenai kemungkinan kehadiran Zidane dalam tempoh beberapa minggu lagi.
Sepanjang berkhidmat di Real Madrid sebelum ini, Zidane nyata memiliki pencapaian hebat, memenangi Liga Juara-Juara sebanyak tiga kali dan dua gelaran La Liga.
Bagaimanapun, dalam masa sama Zidane juga dikatakan berminat untuk melatih skuad kebangsaan Perancis sejurus kontrak pengendali ketika ini, Didier Deschamps tamat selepas Piala Dunia tahun depan.
– AGENSI