SHAH ALAM – Tindakan berterusan akan dikenakan kepada mana-mana pengendali lebuh raya di Selangor yang melanggar peraturan termasuk kegagalan mengurus hakisan dan lumpur.
Pengerusi Jawatankusa Tetap Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Pertanian & Perladangan dan Industri Asas Tani Selangor, Izham Hashim berkata, tindakan wajar itu bagi mengelak sebarang kelemahan dilakukan mereka sehingga menyebabkan kejadian seperti banjir contohnya.
Menurut beliau, pihaknya percaya pembinaan lebuh raya banyak menyumbang kepada pencemaran dan kekeruhan Sungai Ampang selain dipengaruhi projek pembinaan di kawasan sekitar.
“Sebab utama (banjir) ialah hujan yang melebihi 100 milimeter (mm) dalam masa yang panjang sehingga lebih tiga jam sehingga sistem saliran tidak dapat menampung air sebanyak ini,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Beliau menegaskan, siasatan lanjut masih dijalankan pihak berkuasa berhubung kejadian banjir lumpur di kawasan Ampang khususnya di Kampung Lembah Jaya Utara dan Kampung Lembah Jaya Selatan.
Kosmo! hari ini melaporkan hujan lebat berterusan selama lebih tiga jam pada petang kelmarin mengakibatkan kawasan Ampang dinaiki air sehingga paras pinggang menyebabkan kira-kira 162 buah keluarga terjejas teruk.
Dua kawasan paling terkesan ialah Kampung Lembah Jaya Utara dan Kampung Lembah Jaya Selatan apabila hampir keseluruhan rumah penduduk dipenuhi banjir lumpur sehingga merosakkan pelbagai barang kediaman. -K!ONLINE