fbpx

Pekerja pusat kecantikan lemas kereta jatuh parit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anggota bomba sedang mengeluarkan mangsa wanita yang maut selepas kenderaan dinaiki terbabas dalam parit.

KLANG – Perjalanan pulang dua rakan ke rumah berakhir tragedi dengan seorang daripadanya maut dipercayai lemas selepas kenderaan dinaiki terbabas ke dalam parit sedalam tiga meter di Jalan Sungai Puloh, Bandar Bukit Raja di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2.22 pagi, mangsa merupakan seorang wanita yang merupakan pekerja pusat kecantikan dan kesihatan berusia 35 tahun meninggal dunia di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S. Vijaya Rao berkata, berdasarkan siasatan awal mendapati kejadian berlaku ketika dua rakan itu yang menaiki kenderaan pelbagai guna (MPV) Nissan Serena dalam perjalanan ke Persiaran Batu Belah dari Lorong Sungai Puloh.

Katanya, kenderaan tersebut yang dipandu lelaki berusia 37 tahun itu telah hilang kawalan semasa melalui selekoh tajam dan melanggar pokok di hadapannya.

“Kenderaan itu kemudiannya terbabas ke dalam parit yang berair dengan mangsa wanita itu tersepit di dalam kenderaan.

“Mangsa kemudiannya berjaya dikeluarkan pihak bomba dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau menambah, mangsa lelaki yang merupakan penyelia jualan yang turut dikeluarkan daripada MPV berkenaan hanya mengalami cedera ringan.

Jelas S.Vijaya, kedua-dua mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) untuk tindakan lanjut

“Punca sebenar kejadian masih dalam siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1)Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Bomba dan Penyelamat Selangor, Norazam Khamis berkata, seramai tujuh anggota termasuk pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Pinang dikejarkan ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan pukul 2.23 pagi dan tiba 11 minit kemudian.

“Kerja-kerja penyelamatan mangsa mengambil masa hampir 30 minit kerana kenderaan tenggelam di dalam parit,” katanya. -K! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI