KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini diminta agar tidak mengambil kira pandangan pihak pendakwaan ketika mengaitkan tabiat Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan isterinya yang gemar membeli belah barangan berharga yang didakwa menggunakan dana Yayasan Akalbudi.
Peguam Hamidi Mohd. Noh berhujah, pandangan tersebut tidak sewajarnya dipertimbangkan oleh mahkamah kerana ia tidak relevan dalam kes rasuah, pecah amanah dan penggubahan wang haram yang dihadapi oleh bekas Timbalan Perdana Menteri itu.
Beliau merujuk kepada butiran penghujahan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Raja Rozela Raja Toran bahawa Ahmad Zahid dan isteri, Datin Seri Hamidah Khamis menjelaskan bil kad kredit melebihi RM1.3 juta menggunakan wang Yayasan Akalbudi selepas membeli belah di gedung mewah seperti Giorgio Armani, Louis Vuitton dan Hermes dalam tempoh dua tahun.
Raja Rozela ketika itu berhujah antara lain menyatakan: “Walaupun diakui tabiat berbelanja tertuduh dan isteri mungkin tidak menjadi masalah dalam kes ini, seseorang akan tertanya-tanya sama ada mereka memikirkan golongan miskin di negara ini ketika membeli belah di gedung berjenama dan mewah.”
Yayasan Akalbudi yang dimiliki oleh bekas Timbalan Perdana Menteri itu diwujudkan sejak 2013 bagi membasmi kemiskinan dan meningkatkan kebajikan golongan miskin.
Sehubungan itu, Hamidi memohon pandangan mengenai tabiat berbelanja Ahmad Zahid dan Hamidah tidak diambil kira oleh mahkamah kerana ia memprejudiskan anak guamnya dan isteri.
Ujar beliau, pihak pembelaan benar-benar tersinggung dengan kenyataan itu yang tidak sepatutnya dibangkitkan oleh pihak pendakwaan pada sesi penghujahan.
Dalam prosiding hari ini, Hamidi turut menyatakan bahawa Ahmad Zahid tidak sepatutnya didakwa di mahkamah, sebaliknya pihak yang melakukan kesalahan adalah bekas Setiausaha Eksekutifnya, Mejar Mazlina Mazlan. -K! ONLINE