PETALING JAYA – Jika sebelum ini, aktiviti berkhemah akan dilakukan di kawasan perkelahan seperti air terjun, sungai ataupun pantai tidak kiralah sama ada ia berkumpulan ataupun secara individu.
Bagaimanapun, ada segelintir penggemar aktiviti ini memilih sebuah lokasi ‘pelik’ untuk dijadikan tapak perkhemahan baharu mereka iaitu tapak parkir berdekatan sebuah stesen minyak di Genting Highlands.
Lokasi itu kini menjadi popular di laman sosial apabila terdapat beberapa keping gambar dan klip video yang memaparkan aktiviti perkhemahan di kawasan berkenaan oleh beberapa individu dan kumpulan.
Menerusi gambar dan klip video yang dikongsi di beberapa platform media sosial, aktiviti di kawasan berkenaan seolah-olah seperti satu trend di mana mereka akan mendirikan khemah dan nikmati kopi serta mi segera di lot parkir berkenaan yang dikhususkan untuk meletakkan bas.
Tidak tahu apa motif ‘golongan’ ini, namun apa yang pasti aktiviti tersebut telah mengundang pelbagai reaksi netizen selepas melihat perkongsian di laman Facebook dan aplikasi TikTok.
“Macam jakun, dah habis tempat berkelah ke sampai lot parkir pun boleh jadi tempat berkhemah?,” soal Nia Bela.
Turut meninggalkan komen adalah seorang lagi pengguna dikenali sebagai Sidek Hassan.
“Kalau ia pun nak berkhemah carilah kawasan yang sesuai, ini lot parking jugak dipilihnya, bukan sahaja menyusahkan orang untuk meletakkan kenderaan, malah turut membahayakan nyawa sendiri,”katanya.
Pada masa sama, rata-rata pengguna berharap pihak Genting Highlands akan perketatkan lagi kawalan keselamatan supaya ‘golongan’ itu tidak menganggu mood mereka yang tengah bercuti di tanah tinggi terbabit.
“Elok tingkatkan sekuriti di kawasan ini, nampak je ada berkhemah mohon halau, itu kan kawasan persendirian. Jangan ganggu mood kami untuk bercuti di Genting Highlands,” tulis Abie Abu.-K! ONLINE.