PRESIDEN Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor sekali lagi ‘mencuit’ JDT dengan memuat naik status berhubung sikap ditunjukkan para pemain jaguh dari selatan itu di laman Facebook rasminya, semalam.
Menurutnya, pemain-pemain JDT seolah-olah dilatih untuk bersikap sombong terhadap pemain pasukan lain.
“Kelaku depa (mereka) ini seperti dilatih supaya ‘kerek’ dengan pemain pasukan lain seolah-olah pasukan lain dalam kelas (kasta) lebih rendah.
“‘Kerek’ adalah istilah lain bagi bongkak yang dibina terutamanya dalam kalangan pegawai dan pemain dan pegawai import atau naturalisasi yang besar kepala,” katanya.
Bersama status tersebut, Muhammad Sanusi turut berkongsi pautan sebuah akhbar yang melaporkan pandangan Tenaga Pengajar Bahagian Teknikal Pengadil, Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), Subkhiddin Mohd. Salleh, mengenai tindakan pemain pertahanan JDT, Shane Lowry mengasari Jordan Mintah dalam perlawanan pada separuh akhir pertama Piala Malaysia, Isnin lalu.
Menurut Subkhiddin yang juga bekas Pengerusi Jawatankuasa Pengadil Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Lowry yang merupakan pemain import dari Australia boleh dikenakan hukuman berat memandangkan keganasan itu berlaku sewaktu keadaan ‘out of play’.
Insiden tersebut menjadi polemik dalam kalangan peminat bola sepak tanah air apabila Lowry dilihat meluruh ke arah Mintah sebelum menarik baju dan menolak pemain dari Ghana itu yang sedang dalam keadaan terbaring pada minit ke-71.
Tindakan itu menimbulkan suasana tegang namun pengadil, Tuan Mohd. Yaasin Tuan Mohd. Hanafiah tidak melayangkan kad amaran kepada Lowry menyebabkan timbul polemik dalam kalangan peminat bola sepak tanah air berhubung kejadian tersebut.
Muhammad Sanusi sebelum ini menarik perhatian peminat bola sepak tanah air apabila sering membalas kenyataan-kenyataan dibuat pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim di laman Facebook, terutamanya menjelang pertemuan pada suku akhir Piala Malaysia antara kedua-dua pasukan pada minggu lalu. – K! ONLINE