PETALING JAYA – Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) bakal merombak dan menjenamakan semula inisiatif MSC Malaysia sempena menyambut ulang tahun ke-25 pada tahun ini.
Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Mahadhir Aziz berkata, MSC yang baharu dan ditambah baik itu bakal berusaha mempercepatkan penyertaan semua pihak dalam ekonomi digital.
Jelasnya, pada masa sama, ia dapat menangani kebimbangan mengenai jurang digital yang semakin meluas dengan menyediakan akses yang saksama kepada peralatan, pengetahuan dan peluang pendapatan digital, sekali gus meningkatkan nilai cadangan Malaysia untuk menarik lebih banyak pelaburan digital.
“MSC Malaysia telah menjadi asas dan pemangkin kepada ekonomi digital dan menyumbang 22.6 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara pada tahun 2020 dalam tempoh hanya 25 Tahun.
“Persekitaran ekonomi digital yang berubah dengan pantas masa kini memerlukan MSC diset semula agar kekal relevan dan bersedia untuk melonjakkan pemulihan ekonomi Malaysia.
“Penambahbaikan MSC akan memacu pembangunan ekonomi digital negara, selaras dengan Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MyDIGITAL).
“Ia juga bakal mendekatkan matlamat dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) yang menyasarkan ekonomi digital menyumbang sebanyak 25.5 peratus kepada KDNK negara menjelang 2025,” katanya dalam kenyataan.
Sehingga kini, MDEC, menerusi MSC, telah menarik sebanyak 2,794 syarikat aktif berstatus MSC secara kolektif dan membawa lebih RM384 bilion nilai pelaburan.
Ia turut mewujudkan 184,030 peluang pekerjaan sejak 1996 dan melibatkan 10 buah syarikat berstatus Forbes100.
Sehingga Disember 2020, syarikat itu mencatat RM588 bilion pendapatan dan menjana eksport bernilai RM212 bilion.