ALOR GAJAH – Konsep Keluarga Malaysia yang komprehensif untuk segenap lapisan masyarakat mendorong pengundi di Melaka memilih Barisan Nasional (BN) untuk menerajui kerajaan negeri.
Tinjauan di sekitar Masjid Tanah dekat sini mendapati, orang ramai mahukan sebuah kerajaan yang stabil, menunaikan janji dan membela nasib rakyat.
Seorang pelajar, Muhammad Afiq Zulhelmi Karim, 25, berkata, dia yang telah dua kali mengundi mengambil iktibar daripada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) dan mahukan sebuah kerajaan yang benar-benar dapat merealisasikan kemajuan serta kemakmuran negara.
Katanya, pengalaman lepas menjadikannya lebih berhati-hati untuk memilih siapa yang layak memperjuangkan nasib rakyat.
“Visi Keluarga Malaysia yang diperkenalkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilihat memenuhi keperluan rakyat terutamanya nasib golongan belia selepas terkesan dengan pandemik Covid-19.
“Apabila ia dibentangkan di peringkat Persekutuan, saya tertarik dan mahu konsep sama turut diterapkan sepenuhnya di Melaka.
“Ini penting supaya pelan pengukuhan ekonomi serta pemulihan pasca Covid-19 dapat diseragamkan dan selari dengan hala tuju kerajaan Pusat,” katanya.
BN mencatatkan kemenangan besar apabila menang 21 daripada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka baru-baru ini.
Sementara itu, seorang peniaga, Zaleha Othman, 61, berkata, pemerintahan BN selama 60 tahun telah dibuktikan dengan pelbagai kejayaan.
Jelasnya, tidak kira konsep apa yang diperkenalkan BN termasuk Keluarga Malaysia, semuanya memberi manfaat kepada rakyat secara keseluruhannya.
“Bagi saya, parti yang membela nasib rakyat wajar diberi peluang membentuk kerajaan. Bukan sahaja kebajikan semua kaum dijaga, malah nasib orang Melayu turut mendapat perhatian sewajarnya.
“Kepimpinan BN lebih diyakini dan lebih mesra rakyat menerusi Keluarga Malaysia,” katanya. -K! ONLINE