LIVERPOOL – Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp bercadang memberikan peluang kepada tujuh pemain mudanya membuat debut di pentas Liga Juara-Juara menentang Porto di Anfield awal pagi esok.
Keputusan perlawanan itu tidak penting buat The Reds kerana kedudukan mereka sebagai juara Kumpulan B sudah terjamin walaupun masih berbaki satu lagi aksi selepas ini menentang AC Milan pada 8 Disember depan.
Justeru, Klopp berasakan ini adalah waktu terbaik untuk memberikan peluang kepada pemain-pemain muda daripada skuad bawah 19 tahun Liverpool seperti Tyler Morton, Conor Bradley, Owen Beck dan Kaide Gordon menikmati saingan di pentas Eropah buat kali pertama pada perlawanan kali ini.
“Sekarang saya perlu melihat pemain-pemain yang perlu direhatkan dan menurunkan siapa untuk perlawanan ini.
“Saya terbuka kepada cadangan. Jika barisan kejurulatihan berasakan pemain ini sesuai diturunkan, maka saya akan memberinya peluang bermain.
“Namun, ia tidak bermakna kami mengambil mudah perlawanan itu.
“Mereka yang diturunkan perlu tetap memberikan prestasi terbaik bagi menampung ketiadaan pemain-pemain utama yang direhatkan,” kata Klopp.
Nama-nama besar seperti Mohamed Salah, Sadio Mane dan Diogo Jota yang meledak gol ketika membelasah Arsenal 4-0 pada aksi Liga Perdana Inggeris baru-baru ini berkemungkinan besar tidak diturunkan untuk aksi awal pagi esok. – AGENSI