PETALING JAYA – Lebih dua dekad bergelumang sebagai anak seni, aktres dan penerbit tersohor Puan Sri Tiara Jacquelina berpendapat seorang pelakon harus mempunyai ilmu dan dedikasi yang tinggi.
Katanya, disiplin, bakat dan dedikasi harus seiring sekiranya ingin bergelar seorang anak seni yang hebat.
“Pelakon yang hebat perlu ada disiplin dan keinginan tinggi untuk belajar perkara baharu. Tidak boleh cepat perasan dan rasa diri hebat kerana sebagus manapun kita, beratus lebih ramai pelakon bagus di luar sana.
“Selain itu, pelakon yang baik pasti mempunyai serinya sendiri dan orang pandang bukan sebab lawa tetapi kualiti dan dedikasinya,” katanya.
Tiara berkata demikian dalam sesi siaran langsung Instagram bersama Persatuan Wartawan Hiburan Malaysia (WHAM) malam tadi.
Dalam pada itu, pemilik trofi Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia ke-12 untuk filem Ringgit Kassorga itu juga memberitahu individu yang ingin menjadi pelakon terbaik juga harus berani melalui keperitan sebagai seorang anak seni.
“Kalau setakat hendak mengejar populariti dan glamor, jadi saja pempengaruh media sosial (influencer) dalam Instagram tetapi jika nak jadi pelakon, perlu bersedia dan berani menghadapi peritnya.
“Malah, pelakon yang baik juga perlu mengelakkan diri daripada terpalit dengan kontroversi serta tidak mudah melatah,” katanya lagi.
Selain disiplin yang tinggi, pelakon filem Puteri Gunung Ledang itu juga berpendapat kelas lakonan merupakan platform terbaik untuk mengajar tentang keyakinan diri selain mengasah bakat sedia ada.
“Ya, perlu pergi kelas lakonan. Jika berlatih, misi akan lebih jelas dan keyakinan juga akan diperoleh daripada latihan yang disediakan.
“Keyakinan belajar dalam kelas lakonan berbeza dengan berlatih sendiri seperti menghafal skrip dalam kereta. Impaknya sangat berbeza,” tutur aktres berusia 54 tahun itu.
Selain Tiara, artis lain yang akan turut berkongsi kisah menarik mereka ialah Fauziah Ahmad Daud, Maya Karin, Syamsul Yusof, Mawi, Yana Samsudin, pengarah dan penerbit filem seperti Datuk Ziela Jalil, Fadzil Teh dan Datuk A. Aida.
Sesi tersebut yang bermula Sabtu lalu akan berlangsung sehingga 29 November ini pada pukul 9 malam menerusi Instagram Wartawan Hiburan. – K! ONLINE