PUTRAJAYA – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) akan terus meningkatkan pemantauan dan pemeriksaan khususnya di lokasi hotspot banjir dan tanah runtuh di seluruh negara.
Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid berkata, pihaknya akan mendapatkan data berkaitan daripada Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) serta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) sebagai langkah persediaan.
Beliau berkata, pihaknya juga bersedia dengan sebarang kemungkinan termasuk bencana tidak dijangka seperti kejadian tanah runtuh di Cameron Highlands dan banjir lumpur di Gunung Jerai baru-baru ini.
“Kita juga akan memberi tumpuan kepada loji janakuasa elektrik yang berada di kawasan rendah kerana ia boleh mengundang risiko jika banjir melanda.
“Kita juga mahu penduduk setempat berkongsi situasi paras air dan sungai di kawasan masing-masing bagi memudahkan pemantauan dan persediaan sekiranya bencana banjir melanda,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Istiadat Penganugerahan Pingat Kebesaran JBPM di sini hari ini.
Katanya, pihaknya juga turut meletakkan kit kecemasan lemas dikenali sebagai Life-Saving Appliances (LISA) di 62 lokasi hostpot khususnya sebagai peranti awal kecemasan sekiranya berdepan banjir, lemas dan kepala air.
Mohammad Hamdan berkata, ketika ini, LISA diletakkan di lokasi hotspot dan berisiko bencana seperti sungai, tali air, jeram, kawasan air terjun dan tepi pantai.
Menurutnya, kit awal kecemasan itu mengandungi tali, kayu, jaket keselamatan, pelampung dan peti pertolongan cemas selain turut berfungsi menghantar isyarat kecemasan kepada JBPM. – K! ONLINE