fbpx

‘Jangan jadi penyumbang kes baharu Covid-19’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN

KEHIDUPAN kini ‘indah’, mahu pulang ke kampung tidak perlu surat kebenaran, hendak bercuti mandi kolam dan laut serta menikmati keindahan pulau-pulau dipersilakan asalkan ada duit.

Bagi mereka yang gemar aktiviti memancing, mendaki dan food hunter tiada lagi sekatan dan bebas meneroka alam.

Lihat sahaja lokasi-lokasi tumpuan pelancong yang sesak tidak hanya pada hujung minggu tetapi setiap masa walaupun hari bekerja.

Semua orang barangkali sedang lepas geram.

Bagaimanapun sampai bila fasa ‘indah’ ini boleh dinikmati, tiada siapa boleh menjawabnya. Kita masih belum menang dan akan selamanya hidup dengan Covid-19.

Beberapa negara pula sedang menyaksikan ‘ledakan baharu’ antaranya Austria, Jerman dan Perancis.

Malah Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) menyatakan kebimbangan mengenai penularan Covid-19 di Eropah ketika benua berkenaan bergelut dengan gelombang jangkitan baharu.

WHO turut memberi amaran bahawa lebih 500,000 kematian akibat virus pembunuh diramal berlaku menjelang Mac depan.

Di Malaysia, peningkatan kes baharu dikesan dalam tempoh dua minggu kebelakangan ini.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah, kenaikan itu dikesan ekoran sikap alpa rakyat di negara ini yang mengabaikan prosedur operasi standard (SOP).

Selain itu, kadar kemasukan ke hospital membabitkan golongan warga emas dan komorbid menunjukkan peningkatan.

Golongan ini dijangkiti hasil aktiviti daripada kontak rapat susulan kelonggaran ziarah rentas negeri.

Setakat semalam, kadar penggunaan katil di seluruh negara melepasi 80 peratus iaitu di Terengganu (86 peratus), Kelantan (83 peratus) dan Melaka (81 peratus) serta tiga negeri melebihi 70 peratus iaitu Kedah (75 peratus), Johor (74 peratus) dan Labuan (74 peratus).

Semua ini adalah ‘loceng amaran’.

Jika rakyat terus alpa, sudah tentu kita perlu berdepan sekatan semula.

Jujurnya, kita tidak mampu menempuh sekatan penuh lagi dan tidak mahu keruntuhan ekonomi ekoran penutupan sektor-sektor perniagaan.

‘Baru hendak bernafas, ditimpa musibah semula’

Saranan kerajaan supaya terus mematuhi SOP tidak boleh diambil ringan. Galakan mengambil dos penggalak juga perlu diambil berat, ambillah untuk perlindungan diri sendiri.

Setakat ini belum ada yang maut akibat vaksin. Bukan mahu mendabik dada tetapi ia ikhtiar kita.

Lakukan ujian saringan berkala kerana ia mampu mengekang penularan. Jangan biasa berkata, ala kena Covid jer… kerana anda tidak tahu ketahanan badan masing-masing.

Kita semua perlu ‘bersatu hati’ menghentikan ledakan Covid-19 yang dijangka Disember ini. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI