PETALING JAYA – Rata-rata pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 meluahkan rasa tertekan selepas Kementerian Pendidikan (KPM) mengeluarkan jadual SPM pada Mac tahun depan yang dikatakan terlalu padat sehingga mengundang pelbagai reaksi di platform media sosial.
Menurut seorang pelajar SPM 2021 yang dikenali Najwa, dia dan rakan-rakan berasa terkejut sehingga hilang motivasi selepas melihat susunan jadual yang dikeluarkan KPM sehingga menimbulkan kekeliruan untuk menghadapi dua ujian dalam jarak waktu yang rapat.
‘’Ujian lisan SPM 2021 (Mac 2022) dijalankan waktu kami sedang membuat ujian amali/sains pada Februari 2022.
‘’Jadi susunan jadual lisan SPM 2021 ini, akan membuat kami terganggu sama ada ingin memberi tumpuan pada ujian lisan atau ulangkaji untuk ujian amali/sains,’’ katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Selain itu, seorang ibu kepada pelajar SPM 2021 dan ingin dikenali sebagai Aileen Damia berkata, susunan jadual itu memberi tekanan untuk persiapan menghadapi peperiksaan SPM 2021.
“Cabaran utama yang dilalui anak saya menghadapi SPM 2021 dengan format Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) yang sering berubah sukatan pelajarannya.
“Dia merupakan kumpulan pertama menduduki peperiksaan dengan sukatan baru ini, jadi susunan jadual seperti ini akan memberi lebih tekanan,’’ ujarnya.
Selain itu, seorang bapa, Ahmad Kassim, 50-an, menjelaskan, anaknya tidak mengalami kesan terhadap jadual peperiksaan padat seperti yang dikeluarkan oleh KPM kerana fokus utama adalah persediaan menghadapi peperiksaan.
‘’Anak saya tidak mengadu apa-apa mengenai jadual padat itu kerana tumpuan utama adalah untuk membuat sehabis baik peperiksaan SPM 2021 pada tahun depan,” katanya.
Terdahulu, Menteri Kanan (Pendidikan), Datuk Dr. Radzi Jidin dilaporkan berkata, KPM mengambil kira pelbagai pandangan khususnya daripada calon SPM 2021 dan ibu bapa berkaitan jadual peperiksaan SPM 2021 yang dikatakan turut diadakan pada hari Jumaat dan Sabtu. -K! ONLINE