LONDON – Ketua Pasukan Red Bull, Christian Horner mengakui tidak menyesal dengan tindakannya mempertahankan Max Verstappen selepas pemandunya itu dikenakan penalti lima petak ketika bersaing di Grand Prix (GP) Qatar, Ahad lalu.
Horner sebelum ini dikatakan tidak berpuas hati selain mendakwa marsyal perlumbaan sebagai penipu apabila sengaja mengibarkan bendera kuning pada sesi kelayakan hingga menyebabkan Verstappen dikenakan penalti di Qatar kerana tidak memperlahankan jenteranya.
Situasi tersebut menyebabkan Verstappen terpaksa berpuas hati berada di tempat kedua dan gagal menyekat seterunya dari Mercedes, Lewis Hamilton untuk meraih kemenangan di Qatar.
“Saya tidak menyesal kerana setiap orang mempunyai hak untuk melemparkan pandangan dan saya mempertahankan pemandu saya.
“Saya bukan seorang beremosi dan bermuka-muka di hadapan kamera atau gemar mengeluarkan kata-kata kesat. Saya tiada sebarang masalah.
“Saya sangat kecewa kerana ketika itu terdapat tiga atau empat jentera melintasi laluan yang sama, namun bendera kuning tidak dikibarkan. Sebaliknya berlaku terhadap pasukan Red Bull.
“Namun, kami tidak berputus asa dan akan terus bekerja keras untuk beraksi sebaik mungkin menjelang perlumbaan seterus di Jeddah nanti,” kata Horner.
Ketika ini, Verstappen masih mendahului carta kejuaraan dan hanya dipisahkan lapan mata dengan Hamilton ketika perlumbaan hanya berbaki dua pusingan untuk tamat dalam persaingan merebut kejuaraan dunia.– AGENSI