LONDON – Ketua pasukan Honda, Alberto Puig mengakui mereka masih belum bersedia 100 peratus untuk menghadapi saingan 2022 meskipun telah melakukan perubahan pada jentera baharu ketika sesi ujian di Jerez minggu lalu.
Honda dikatakan telah membangunkan prototaip RC213V baharu, malah telah melakukan ujian di Misano pada September lalu sebelum turun menguji beberapa komponen baharu Jerez baru-baru ini.
Pada sesi ujian tersebut, pelumba Jepun, Takaaki Nakagami (LCR) tampil agresif apabila berada di kedudukan kedua terpantas, manakala Pol Espargaro (Honda) berada di kedudukan ketujuh terpantas.
Juara dunia MotoGP, Marc Marquez tidak dapat turun pada sesi ujian tersebut selepas berdepan masalah penglihatan.
“Sukar untuk menjawab perkembangan jentera 2022 ini kerana ia masih dalam percubaan. Selepas anda membuat ujian, jurutera perlu mengumpul semua maklumat untuk menentukan hala tuju atau apa yang perlu dilakukan.
“Pasukan sedang memahami apa yang terbaik untuk pelumba. Apa yang kami boleh boleh katakan persediaan kami masih belum sempurna,” kata Puig.
Pada musim ini, Honda dikatakan mengalami masalah terutama cengkaman belakang jentera yang menyebabkan kesemua pelumba mereka berdepan kesukaran untuk memecut laju ketika keluar dari selekoh.
“Apa yang boleh kami simpulkan ketika ini adalah positif. Apabila jentera diuji oleh pelumba yang berbeza dan masing-masing memberitahu anda perkara yang berbeza.
“Tetapi, mujurlah pendapat mereka tidak jauh beza dan ini sangat penting untuk pembangunan jentera. Apa yang kami lakukan sewaktu di Misano adalah mengikut proses yang tepat sebelum menuju 2022,” tambahnya. – AGENSI