SEBERANG PERAI – Dua lelaki dikhuatiri lemas di Sungai Muda berdekatan Kompleks Pasar Bisik di Penaga, Kepala Batas di sini ketika cuba melarikan diri daripada serbuan polis awal pagi tadi.
Bomba menerima panggilan berhubung kejadian itu pada pukul 5.32 pagi sebelum pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Muda bergegas ke lokasi.
Setakat ini identiti kedua-dua mangsa belum dikenal pasti.
Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, pihaknya melakukan usaha mencari dan menyelamat dengan kaedah pencarian pada permukaan.
“Berdasarkan laporan, terdapat dua mangsa lelaki dikhuatiri lemas sewaktu berenang ketika melarikan diri semasa operasi yang dijalankan oleh pihak polis.
“Usaha pencarian sambil dibantu Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) Butterworth sedang dilakukan,” kata jurucakap itu. – K! ONLINE.