PETALING JAYA – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bersiap siaga sekiranya kejadian banjir di kawasan Kampung Lembah Jaya Utara dan Lembah Jaya Selatan berulang.
Pengarah Bomba Selangor, Norazam Khamis ketika dihubungi Kosmo! berkata, ketika ini, tiada laporan banjir diterima namun pihaknya akan menjalankan rondaan di kawasan yang dijangka terjejas bagi memastikan keselamatan penduduk.
“Kita juga telah mengarahkan beberapa Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) yang berdekatan seperti BBP Ampang dan Pandan untuk bersiap sedia untuk ke lokasi.
“Arahan untuk bersiap siaga di BBP terlibat telah dikeluarkan dan seramai tujuh anggota untuk satu balai telah diberi arahan untuk ditugaskan ke lokasi sekiranya perlu,” katanya di sini hari ini.
Norazam turut mengingatkan orang ramai terutamanya di kawasan Ampang untuk bersedia sekiranya kejadian tidak diingini berlaku.
“Penduduk di kawasan berisiko tinggi dinasihatkan untuk melakukan persediaan awal seperti menyimpan dokumen penting di tempat lebih tinggi, memastikan anak-anak berada di rumah dan tidak menyentuh dawai elektrik sekiranya banjir berlaku,” jelasnya.
Kosmo! pada Isnin lalu melaporkan, hujan lebat berterusan selama hampir dua jam mengakibatkan dua kawasan di Kampung Lembah Jaya Utara dan Lembah Jaya Selatan dinaiki air setinggi kira-kira satu meter.
Difahamkan, sebanyak 206 unit rumah dan 1,019 mangsa telah dikenal pasti terjejas akibat kejadian banjir lumpur tersebut.- K! ONLINE.