PEMAIN remaja wanita negara, Aifa Azman terpaksa bermandi peluh sebelum bangkit mencatat kemenangan untuk mara ke pusingan suku akhir di Kejohanan Skuasy Terbuka Malaysia petang semalam.
Pada perlawanan pusingan kedua tersebut, Aifa mempamerkan kebangkitan luar biasa sebelum berjaya menyingkirkan pemain No.31 dunia dari Mesir, Yathreb Adel menerusi pertarungan lima set.
Aifa yang menghuni ranking ke-69 dunia menggunakan segala pengalamannya sebelum berjaya mengatasi Adel yang juga pemain pilihan ketiga tersebut dalam tempoh 47 minit menerusi keputusan 11-3, 9-11, 8-11, 11-4, 11-7.
“Alhamdulillah ke suku akhir esok,” kata Aifa menerusi InstaStory miliknya semalam.
Hasil keputusan tersebut, pemain kelahiran Kedah tersebut akan berdepan seorang lagi pemain Mesir, Hana Ramadan petang ini untuk memburu slot ke separuh akhir.
Pada perlawanan pusingan pertama kelmarin, Aifa langkah kanan apabila menyingkirkan pemain No.47 dunia dari Mesir, Mayar Hany menerusi keputusan straight set 11-8, 11-3, 11-5.
Pemain berusia 19 tahun tersebut langsung tidak memberikan peluang kepada Mayar apabila menguasai sepenuhnya perlawanan tersebut, sekali gus mencatat kemenangan ke-12 pada saingan musim ini. – K! ONLINE