GEORGE TOWN – Wakil Restoran Hameediyah di Lebuh Campbell di sini tampil memberi penjelasan berhubung isu tular mengenai dua ekor sotong goreng yang dijual di restoran nasi kandar itu berharga RM100.
Pengarah restoran, Muhammad Riyaaz Syed Ibrahim berkata, harga kesemua makanan yang dijual di restoran itu disenaraikan dengan jelas termasuk hidangan sotong yang dijual di antara RM10 dan RM150 seekor.
Menurutnya, perkara itu tular selepas satu pasangan membeli dua set nasi berlaukkan sotong di restoran itu semalam dan berkongsi di laman sosial.
“Saya yang mengambil pesanan pasangan itu, di mana mereka telah membungkus sotong goreng untuk dibawa pulang selain nasi beriani, nasi putih, telur masin, sebungkus papadom dan hidangan timun.
“Sotong yang digunakannya untuk hidangan sotong goreng appollo ini tidak murah, kami sendiri membelinya pada harga RM35 hingga lebih RM40 sekilogram malah harga di pasaran sentiasa berubah-ubah,” katanya di sini hari ini.
Menurutnya, sotong goreng yang dibungkus untuk pasangan berkenaan juga bersaiz besar di mana harganya adalah di antara RM110 dan RM120 untuk dua orang namun dia telah memberikan diskaun kepada mereka.
“Apabila pasangan ini menempah hidangan sotong tersebut mereka tidak bertanyakan mengenai harganya.
“Wanita tersebut dengan jelas melihat saya memasukkan jumlah harga sotong ke sistem pembayaran dan dia tidak mengadu apa-apa ketika itu,” katanya.
Terdahulu, tular di media sosial selepas seorang individu memuat naik gambar nasi beriani berlaukkan sotong dan sekeping resit yang memaparkan harga dua ekor sotong goreng di sebuah restoran di sini adalah RM100. – K! ONLINE