LIGA Bola Sepak Malaysia (MFL) kini menanti keputusan Majlis Keselamatan Negara (MKN) berhubung permohonan untuk menambah jumlah penonton pada aksi final Piala Malaysia 30 November ini.
Ketika ini, sebanyak 20,000 tiket akan mula dijual menerusi pautan www.tickethotline.com bermula Sabtu ini.
Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Stuart Ramalingam berkata, pihaknya sudah pun mengemukakan permohonan kepada MKN.
“Meskipun MFL terpaksa menanggung peningkatan kos penganjuran tahun ini dan tiket hanya diperuntukkan sebanyak 20,000 tempat duduk, MFL masih mengekalkan harga tiket walaupun dengan jualan kuantiti tiket yang agak terhad.
“Buat masa ini, sejumlah 20,000 tiket tempat duduk terbuka akan dijual mengikut kapasiti penonton yang dibenarkan oleh pihak MKN. MFL telah mengemukakan permohonan kepada MKN agar jumlah itu dapat ditambah.
“Selain itu, MFL juga telah memohon untuk penonton dibenarkan makan dan minum di dalam stadium dan kami berharap permohonan itu akan mendapat pertimbangan sebaiknya daripada pihak MKN,” katanya.
Tiket dipecahkan kepada empat peringkat bermula dengan General Admission yang berharga RM50 dan RM70, Premium General Admission (RM80) serta Premium Grandstand (RM150). – K! ONLINE