fbpx

Suai padan pakaian lama, baharu lebih bergaya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
BERGAYA dengan kombinasi warna yang tidak pernah digunakan sebelum ini memberi seseorang tampak lebih berkeyakinan.

Oleh FAIZAL HAMID

UNTUK musim ini, trend fesyen segalanya adalah tentang reka corak, warna dan tekstur ceria yang menarik disuai padan dalam pelbagai cara. Gaya suai padan radikal itu cukup menyerlah dan memukau dalam koleksi banyak jenama antarabangsa paling berpengaruh.

Aliran gaya ini adalah kunci gaya ekspresi dan keyakinan individualiti wanita melalui pilihan padanan pakaian.

Suai padan pakaian adalah kemahiran yang perlu ada apabila anda mahu menggabungkan pakaian lama dan baharu untuk menyuntik gaya segar pada penampilan.

Konsep suai padan maksudnya adalah kita mengambil dua tema yang kontras atau kombinasi pakaian untuk satu penampilan. Sebelum mempraktikkan konsep suai padan, cuba lihat dahulu apa yang sedia ada dalam almari anda.

Gunakan pemikiran kreatif untuk mendapatkan beberapa idea menarik kombinasi pakaian bagi memberi nafas baharu pada setiap helaian pakaian yang ada.

Pastikan juga anda memilih pakaian dalam siluet yang ringkas dan sederhana untuk lebih impak. Cara itu juga pasti dapat memperlihatkan keunikan setiap helaian pakaian tersebut.

Sebagai contoh, jika biasanya anda memakai blazer jalur halus dengan padanan seluarnya, apa kata kali ini tukar kepada jean dan kasut ballet flats untuk gaya kasual yang bersahaja.

Sebagai tambahan, dapatkan beberapa pakaian baharu yang boleh menambah pelbagai gaya hebat pada pakaian sedia ada, seperti skirt bercorak atau gaun sheath rona terang.

Berikut konsep suai padan dalam pemilihan pakaian anda.

1.Pakaian asas

Apabila mahu membuat kombinasi gaya pakaian, gunakan pakaian asas untuk menyatukan gaya keseluruhan.
Kemeja-T hitam atau jean potongan lurus adalah contoh helaian asas yang hebat digayakan dengan blazer bercorak atau seluar cropped.

Blazer, kardigan, tights dan skaf adalah antara padanan cukup versatil dan boleh menambah gaya kepada penampilan dari siang hingga malam.

2. Reka corak berani

Reka corak berani dan terang sememangnya cukup popular untuk musim ini.

Ambil peluang itu untuk meluahkan ekspresi diri apabila mencuba konsep suai padan. Gunakan corak di tempat tidak dijangka seperti pada skirt atau kasut bertumit rendah dan gabungkan bersama padanan corak lain untuk lebih memberi impak.

Cuba padankan corak rumit dengan corak mudah seperti jalur atau polka dot untuk seimbangkan penampilan keseluruhan.

GAYA suai padan yang radikal ini cukup menyerlah dan memukau pandangan.

3. Eksperimentasi kombinasi warna

Tiada manual undang-undang menyatakan anda hanya boleh menggayakan satu warna bagi setiap penampilan.
Bereksperimentasilah dengan kombinasi warna yang tidak pernah anda guna sebelum ini.

Apabila menyuai padan fabrik bercorak atau polos, gayakan kombinasi corak flora, jalur dan petak dengan penuh yakin dan bersahaja untuk kelihatan gaya lebih unik

4. Warna senada

Cuba berani gayakan pakaian dalam rona senada seperti biru dan biru kehijauan atau warna kontras seperti unggu dan kuning.

Jika memakai skaf bercorak, jadikan kombinasi warna skaf tersebut sebagai panduan untuk anda memilih warna bagi padanan pakaian dan aksesori.

Jadikan warna neutral seperti hitam, putih atau abu kecoklatan (beige) sebagai warna pelengkap gaya anda.

5. Aksesori

Jangan takut menambah suntikan warna bagi menjadikan penampilan lebih mengujakan.

Sepasang kasut dalam rona terang atau mungkin topi yang menarik serta aksesori hebat selalunya dapat membuat transisi penampilan biasa menjadi hebat.

————————————————————————————————————————————————————————————————————————————————————————-

FAIZAL HAMID ialah Pensyarah Kanan Jabatan Fesyen, Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka, Universiti Teknologi Mara, Shah Alam, Selangor.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI