fbpx

Skuad projek buru kemenangan pertama

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SKUAD hoki remaja Malaysia menyasarkan mara ke suku akhir pada kejohanan Piala Dunia Hoki Remaja 2021 di Bhubaneswar, India bermula malam esok.

SKUAD hoki projek khas lelaki negara membawa mentaliti kemenangan menjelang aksi pertama Kumpulan A Piala Dunia Hoki Remaja 2021 di Bhubaneswar, India menentang Chile di Stadium Kalinga malam esok.

Begitupun, skuad remaja negara masih perlu berwaspada dengan ancaman yang mampu diberikan lawan dari Amerika Selatan itu memandangkan tidak pernah bertemu sesama sendiri sama ada pasukan remaja atau senior di pentas antarabangsa.

Ia selepas Chile mencipta kejutan menjuarai Kejohanan Hoki Remaja Pan-Amerika 2021 apabila menewaskan juara 11 kali, Argentina di pentas final pada Ogos lalu.

Pengurus pasukan, I. Vikneswaran percaya anak-anak buahnya sudah bersedia untuk turun memberikan tentangan sengit kepada Chile dalam misi membuka langkah kanan dengan meraih tiga mata berharga.

“Malaysia tidak pernah menentang Chile. Mereka ada melakukan latihan dan aksi persahabatan di sini tetapi kami tidak dibenarkan untuk melihat.

“Difahamkan, Chile adalah sebuah pasukan tipikal Amerika Selatan. Pemain-pemain mereka mempunyai kepantasan, cergas dan cukup berfizikal.

“Kami bermain untuk menang dan setiap langkah kecil dalam perlawanan esok adalah amat penting buat pasukan,” katanya ketika dihubungi Kosmo!

Selepas bertemu Chile, skuad remaja negara bimbingan Wallace Tan akan meneruskan aksi kedua Kumpulan A menentang naib juara edisi 2016, Belgium pada Jumaat ini diikuti Afrika Selatan sehari kemudian.

Sebagai rekod, Malaysia yang menyasarkan mara ke suku akhir, pernah meraih tempat keempat Piala Dunia Hoki Remaja sebanyak tiga kali pada edisi 1979 di Versailles, France; 1982 di Kuala Lumpur dan 2013 di New Delhi, India. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI