PETALING JAYA – Malaysia merupakan negara kedua terpantas yang beralih ke arah negara tua, memetik laporan oleh Bernama bertajuk Risiko Persaraan yang disiarkan pada awal tahun.
Dijangkakan dalam tempoh 15 tahun dari sekarang, purata jangka hayat rakyat akan mencecah kepada umur 80 tahun dengan umur minimum persaraan 60 tahun.
Ini bermakna populasi perlu menyediakan simpanan mencukupi bagi menampung keperluan persaraan bagi tempoh 20 tahun.
Menurut Private Pension Administrator Malaysia (PPA), keperluan untuk menambah simpanan persaraan kini semakin penting dan orang ramai harus mengorak langkah dengan memanfaatkan Skim Persaraan Swasta (PRS)
“PRS merupakan skim yang dikawal selia oleh Suruhanjaya Sekuriti dan menjadi penambah kepada skim persaraan mandatori sedia ada.
“Sejak diperkenalkan pada tahun 2012, PRS telah mencatat pertumbuhan yang memberangsangkan dengan menarik 512,703 ahli serta mencapai Nilai Aset Bersih (NAB) melebihi RM5.3 bilion sehingga Oktober 2021,” katanya dalam satu kenyataan.
Bagi menggalakkan rakyat Malaysia menabung lebih banyak untuk persaraan, pelepasan cukai peribadi sehingga RM3,000 setahun diperkenalkan buat pencarum PRS.
Dalam Belanjawan 2021, insentif berkenaan telah dilanjutkan sehingga tahun taksiran 2025 dan ini membuktikan kerajaan terus berusaha untuk mempertingkatkan kesejahteraan persaraan.
“Jadual berikut menunjukkan jumlah pelepasan cukai yang bakal diperolehi melalui caruman tahunan RM3,000 dalam akaun PRS.
“Sebagai contoh, sekiranya pendapatan tahunan ahli adalah sekitar RM50,000 – RM70,000 setahun (atau RM4,200 – RM5,800 sebulan) dan kurungan cukai adalah 13 peratus, maka caruman PRS sebanyak RM3,000 akan memberikan penjimatan cukai berjumlah RM390.
“Kita harus menjadi pelabur yang bijak dengan mengambil manfaat bukan sahaja daripada pelepasan cukai PRS, malahan terus menyimpan setiap bulan bagi mencapai matlamat persaraan,” tambah PPA.
Pencarum juga berpeluang memenangi pelbagai hadiah menerusi Peraduan #ISaveinPRS Treats sehingga 31 November ini.
Melalui peraduan ini, 20 pendaftar yang mencarum buat pertama kali melalui perkhidmatan PRS Online PPA berpeluang memperoleh ganjaran PRS Treats bernilai RM100 dalam unit PRS melalui Cabutan Bulanan PRS Treats dan PIN tambah nilai eWallet Touch ‘n Go bernilai RM30.
Maklumat lanjut mengenai peraduan ini boleh didapati di www.ppa.my/ms/isaveinprstreatscontest.