fbpx

Setahun tertunda, Ogy batal konsert Khai Bahar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ogy Ahmad Daud terpaksa membatalkan konsert penyanyi, Khai Bahar selepas mengambil kira beberapa faktor.

PETALING JAYA – Selepas mengambil kira pelbagai faktor, Konsert Khai Bahar: Dari Smule Ke Pentas Dunia yang tertunda sejak tahun lalu berikutan kekangan pandemik Covid-19 akhirnya terpaksa dibatalkan.

Perkara itu diumumkan penganjurnya yang juga pelakon dan penerbit, Fauziah  Ahmad Daud atau Ogy dalam satu video Instagramnya, semalam.

Katanya, keputusan tersebut diambil selepas perbincangan dibuat secara bersama mereka yang lebih arif dalam penganjuran sesebuah konsert.

“Saya sebagai pihak penganjur yang dipertanggungjawabkan untuk konsert Khai Bahar mengambil keputusan muktamad membatalkan konsert itu.

“Kepada semua pembeli-pembeli tiket konsert, saya bersama peguam sedang berusaha untuk mendapatkan ‘refund’ (pemulangan) anda semula.

“Kerana pelaburan yang anda lakukan dalam pembelian tiket konsert itu, duit tiada bersama saya mahu pun dalam syarikat saya dan dibeli menerusi AirAsia RedTix,” katanya.

Menerusi video berdurasi hampir tiga minit itu, Ogy juga memohon maaf kepada seluruh pasukan yang bersusah payah bersama-sama berusaha merealisasikan konsert berkenaan.

“Kita hanya mampu merancang, hanya Allah saja yang menentukan. Saya menyusun sepuluh jari memohon ribuan ampun dan maaf di atas kesulitan yang timbul dan suatu hari dengan izin Allah, saya harap akan dapat bekerjasama dengan Khai Bahar lagi.

“Terima kasih kepada peminat-peminat Khai Bahar yang menanti dan terus menanti dengan penuh kesabaran untuk menonton konsert berkenaan tapi, malangnya saya terpaksa membuat keputusan muktamad ini,” katanya lagi.

Dalam kenyataan sama, aktres berpengalaman itu menyatakan sentiasa menyanjung bakat penyanyi terbabit yang diharap terus menjulang kejayaan berterusan sepanjang.

“Saya turut mendoakan agar Khai Bahar terus sukses dalam kerjaya seninya dan kepada semua peminatnya, teruskan memberi sokongan kerana dia memang seorang anak muda yang dianugerahkan bakat yang tulen,” katanya.

Terdahulu, Konsert Khai Bahar: Dari Smule Ke Pentas Dunia dijadualkan berlangsung di Istana Budaya pada 27 dan 28 Mac tahun lalu namun ditunda disebabkan penularan pandemik Covid-19.

Dikelolakan Ogy Ventures & Network Sdn Bhd, bersandarkan promosi awal harga tiket bermula pada RM86, RM116, RM236, RM276, RM296, RM366, RM446 hingga RM556 untuk kategori emas yang dijual menerusi laman web airasiaredtix.

Susulan daripada itu, pada Ogos 2020, Ogy mengumumkan pula konsert tersebut bakal diadakan di lokasi baharu kerana kapasiti penonton tidak mampu menampung kos yang bakal dilaburkan.

Gelanggang persembahan yang mampu menampung lebih 1,000 penonton hanya boleh memuatkan 500 orang termasuk kru mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP). – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI