fbpx

Saya pelakon bodoh kalau tolak tawaran filem Abang – Ogy

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
OGY AHMAD DAUD

PETALING JAYA – Siapa sangka, Fauziah Ahmad Daud pernah mengambil keputusan enggan pulang ke Kuala Lumpur bagi menumpukan perhatian terhadap kerjaya nyanyian di Singapura walaupun ketika itu namanya sudah diangkat sebagai Pelakon Harapan Festival Filem Malaysia (FFM) 1980.

Katanya, sehari selepas menerima trofi FFM pertama tersebut, dia terus ‘terbang’ semula ke Singapura namun panggilan daripada ibu, seniwati Datin Saadiah membuatkan pendiriannya berubah apabila diminta menerima tawaran membintangi filem Abang yang diajukan Allahyarham Zainuddin Ismail.

“Selepas filem Ceritamu Ceritaku, saya ke Singapura bekerja sebagai penyanyi kelab malam. Masa bekerja saya dapat panggilan dan diminta bercuti dua hari kerana nama saya naik untuk pencalonan FFM. Malah sehari selepas kemenangan sebagai Bintang Harapan, saya terus balik Singapura.

“Terus terang ketika itu saya memang tak mahu balik ke Malaysia langsung sebab sudah tanamkan tekad mahu teruskan kerjaya nyanyian di sana tetapi tidak lama kemudian saya dapat lagi panggilan daripada emak yang memaklumkan saya diajukan tawaran membintangi filem Abang.

“Disebabkan saya anak yang taat, saya turutkan kehendak emak dan balik ke Kuala Lumpur namun sebaik membaca skrip, saya jadi takut kerana melihat barisan pelakon teater hebat seperti Ahmad Yatim, Datuk Tarmimi Siregar dan Datuk Rahim Razali yang turut menjadi pengarah.

“Saya pun terima selepas emak cakap kalau tak terima, Fauziah (panggilan di rumah) adalah pelakon bodoh sebab daripada mereka kamu boleh belajar. Dari situ saya terus cabar diri dan di set, semua pelakon sudah bersedia. Macam Ahmad Yatim, saya tengok dia akan memencilkan diri untuk mendapat ‘vibes’ sebelum beraksi.

“Kini sudah hampir 50 tahun perjalanan saya sebagai anak wayang yang penuh warna dan mencetuskan pelbagai magis, sekali gus menjadikan saya individu kental dalam proses penerokaan sebagai anak seni sehingga meletakkan saya di tempat sekarang,” kongsi Fauziah atau Ogy menerusi sesi Live Instagram Bersama Penggiat Seni bawah topik Aku Pelakon Terbaik, pada Sabtu lalu.

Pelakon Wanita Terbaik FFM 1986 dan 1987 itu turut berkongsi ilmu lakonan dan pengalaman bekerja dengan ramai sutradara dan bintang handalan pada sesi yang berlangsung selama dua jam anjuran Persatuan Wartawan dan Penulis Hiburan Malaysia (WHAM) dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Filem (Finas).

Dikendalikan moderator yang juga dua editor hiburan, Saharudin Mohd. Musthafa dan Roslen Fadzil, sesi berkenaan antara pengisian yang diadakan secara bersiri bersempena Festival Filem Malaysia Ke-31 (FFM31) yang akan berlangsung pada 10 Disember depan.

Selain itu, beberapa sesi ‘live’ lain yang disertai pemain industri seni berpengalaman seperti Maya Karin, Syamsul Yusof, Yana Samsudin, Mawi, Datuk Ziela Jalil, Datuk A. Aida dan Fadzil Teh dijadualkan berlangsung selama sembilan hari sehingga 29 November ini.

Sementara itu, dalam perkongsian sama, primadona filem Melayu itu tidak ketinggalan menceritakan pengalaman diserang demam seminggu.

Semuanya gara-gara dia diminta pengarah filem Esok Untuk Siapa, Tan Sri Jins Shamsuddin menyempurnakan babak masuk ke dalam peti mayat di Hospital Kuala Lumpur (HKL) sekitar 1982.

Antara momen lain bersama sutradara yang sudah dianggap sebagai mentor adalah menerusi filem Ali Setan dengan menggandingkannya dengan Azmil Mustapha sehingga menjadi antara naskhah komedi romantik yang mencetuskan fenomena tersendiri sehingga sekarang.

Diserbu ketika sesi jelajah promosi sehingga pentas roboh, diekori peminat tegar sampai ke bilik hotel, dipanggil dengan nama Asmidar iaitu watak dalam filem tayangan 1985 tersebut menjadi antara kenangan manis yang melekat kuat dalam ingatan anak seni berusia 59 tahun itu.

Ogy juga tidak lokek berkongsi kehidupan peribadi termasuk perkahwinannya dengan teman seperjuangan, Eman Manan yang hanya mampu bertahan hampir 13 tahun selain kisah dilamar beberapa lelaki termasuk orang kenamaan sebaik mereka sah bercerai pada 2003.

Sebagai misi perkongsian, dia kini dalam proses menerbitkan sebuah buku yang merangkumkan segala pengalaman sepanjang lima dekad memperjuangkan bakat dan momen penting dalam kehidupannya berjudul Mencari Noriah pada Januari tahun depan.

Katanya, penghasilan naskah tersebut juga sebagai perkongsian ilmu untuk generasi muda supaya lebih menghargai karya.

Pada masa sama, ingin memenuhi secara harfiah kecenderungan arwah bapanya, Allahyarham Datuk Ahmad Daud yang ingin melihatnya mengikuti jejak langkah datuknya selaku bekas pengetua Penang Free School.

“Sebenarnya, dahulu bapa tak galakkan saya jadi pelakon sebab dia sangat mementingkan pendidikan. Dia nak saya jadi ahli akademik tetapi apabila dia nampak saya pada waktu itu bersungguh sebagai penyanyi, galakan daripadanya mula kelihatan.

“Tentu saya pun kena timba ilmu, tak boleh sekadar bergantung pada nama emak dan bapa.

“Menerusi apa yang saya laksanakan sekarang iaitu mendidik dan berkongsi ilmu dengan generasi muda, secara tidak langsung harapan arwah ayah untuk melihat saya menjadi seorang pendidik tercapai,” katanya yang merealisasikan usaha tersebut menerusi penubuhan Ogy’s Centrestage & Academy sejak empat tahun lalu. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI