MOSCOW – Rusia telah menghasilkan sejenis losen selepas bercukur yang memliki bau seperti kokpit jet pejuang terbaharu milik negara itu, lapor akhbar Mirror UK semalam.
Rostec iaitu firma pertahanan Rusia yang diasaskan oleh Presiden Vladimir telah bekerjasama dengan Persatuan Pembuat Minyak Wangi Rusia untuk mengeluarkan losen selepas bercukur tersebut yang dinamakan Checkmate.
Semburan itu mempunyai bau seperti besi, kulit dan gelas dan dihasilkan untuk berbau seperti bahagian dalam kokpit jet pejuang Rusia.
Losen selepas bercukur itu telah dilancarkan untuk mempromosikan pesawat perang Sukhoi Su-75 ‘Checkmate’ generasi kelima yang baharu.
Pesawat pejuang taktikal enjin tunggal yang ringan itu dilaporkan boleh terbang pada kelajuan 1.8 kali ganda kelajuan bunyi. Sukhoi Su-75 boleh terbang sejauh 3,000 kilometer dan membawa muatan 7,400 kilogram.
“Wangian Checkmate dihasilkan di Rusia dengan aroma gelas, kulit asli dan besi yang digunakan dalam membuat enjin dan kokpit pesawat,” kata seorang jurucakap Rostec.
Botol wangian Checkmate edisi terhad itu telah diperkatakan di Pertunjukan Udara Dubai, Emiriyah Arab Bersatu minggu ini di mana prototaip jet itu turut dipamerkan. – AGENSI