LANGKAWI – Projek pembinaan pangsapuri mewah di Bukit Tanjung Mali dekat Pantai Chenang di sini tidak menjejaskan Tapak Geowarisan Tanjung Mali yang menempatkan struktur dropstone atau batu jatuh berusia lebih 500 juta tahun.
Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), Nasaruddin Abdul Muttalib berkata, projek pembinaan itu terletak di luar tapak geowarisan tersebut.
“Semakan LADA mendapati kawasan projek di Tanjung Mali berada di luar kawasan dropstone yang menjadi salah satu keunikan Langkawi.
“Walau bagaimanapun, LADA akan memberikan peringatan dan pandangan kepada majlis perbandaran (Majlis Perbandaran Langkawi Bandaraya Pelancongan) yang meluluskan pembangunan itu,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Kata beliau, peringatan dan pandangan itu adalah bagi memastikan kawasan batu jatuh berkenaan tidak terjejas dengan projek pembangunan di kawasan sekitarnya.
Menurutnya, beliau difahamkan projek pembinaan pangsapuri mewah setinggi 40 tingkat itu masih belum bermula.
“Setakat ini baru peringkat kerja-kerja tanah dan pengambilan batu di tapak pembangunan tersebut,” jelasnya. – K! ONLINE