IPOH – Seorang penganggur dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan membunuh ibu saudaranya dua minggu lalu.
Tertuduh, Aw Kim Wah, 40, mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Kantonis oleh jurubahasa dihadapan Majistret Noor Azreen Liana Mohd. Darus.
Bagaimanapun, tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada tertuduh memandangkan kes berkenaan di bawah kuasa Mahkamah Tinggi.
Kimwah didakwa dengan niat telah melakukan bunuh menyebabkan kematian Aw Foong Meng, 73, di alamat M97/H, Kampung Cina, Mengelembu antara pukul 11 pagi hingga 3.25 petang 9 November 2021.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohammad Haiqal Asyraf Suhaimi manakala tertuduh tidak diwakili peguam. Mahkamah menetapkan 24 Januari depan bagi sebutan semula kes.-K! ONLINE