SELEPAS hampir empat tahun bercinta, pelakon Park Shin-hye mengumumkan dia bakal melangsungkan perkahwinan dengan kekasihnya yang juga seorang aktor, Choi Tae-joon dalam sebuah majlis secara tertutup pada 22 Januari tahun depan.
Shin-hye membuat pengumuman tersebut menerusi laman web kelab peminatnya pada pagi tadi.
“Saya agak gementar untuk memberitahu berita ini dan dapat merasakan kalian (peminat) semua pasti akan terkejut. Namun, saya mahu kalian menjadi orang pertama yang mengetahui berita ini.
“Saya akan berkahwin dengan lelaki yang menjalinkan hubungan dengan saya . Dia adalah kekuatan saya untuk jangka masa yang lama dan dia menerima diri saya seadanya.
“Oleh itu, saya merancang untuk menjadi pasangannya dalam kehidupan berumah tangga,” tulisnya.
Lebih mengejutkan peminat, aktres yang popular dengan drama Prince Hour itu turut mendedahkan, dia kini sedang berbadan dua.
Namun, aktres itu tidak mendedahkan secara terperinci mengenai kehamilannya kerana masih dalam peringkat awal.
“Saya agak ragu-ragu untuk mendedahkan perkara ini kerana masih di peringkat awal, tetapi ketika kami sedang membuat persediaan majlis perkahwinan, kehidupan baru (anak) yang amat berharga telah hadir dalam kehidupan kami.
“Saya tidak sabar untuk memberitahu anda semua tentang berita ini. Saya berjanji akan tetap menunjukkan sisi terbaik walaupun selepas memiliki keluarga sendiri,” ujar Shin-hye.
Dalam pada itu, Shin-hye memaklumkan, akan berehat dalam waktu yang panjang, namun berjanji kepada peminat bahawa dia akan kembali semula sebagai pelakon.
“Akhir sekali, saya mahu berterima kasih atas sokongan yang diberikan walaupun saya memiliki banyak kekurangan. Saya pasti akan mengambil masa yang agak lama, namun saya akan melakukan yang terbaik untuk kembali sebagai aktres secepat mungkin.
“Saya tidak akan membiarkan kalian menunggu terlalu lama. Sampai jumpa lagi, semoga kekal sihat dan saya mengucapkan selamat tinggal buat masa ini,” tulis Shin-hye panjang lebar.
Shin-hye dan kekasihnya Tae-joon mula menjalinkan hubungan cinta pada penghujung 2017, bagaimanapun mereka hanya mendedahkan hubungan tersebut kepada umum pada Mac 2018. – K! ONLINE